LEGENDA pecut Malaysia, Tan Sri Dr. M. Jegathesan meluahkan keinginannya untuk melihat semula kebangkitan prestasi pemegang rekod 100 meter (m) kebangsaan, Khairul Hafiz Jantan pada tahun depan terutama pada Sukan SEA 2021 di Hanoi, Vietnam.
Jegathesan, 77, yang pernah bergelar Raja Pecut Asia dengan gelaran The Flying Doctor pada era 1960-an menyifatkan, ia adalah satu kerugian jika bakat dalam diri pelari berusia 22 tahun itu tidak dimanfaatkan sepenuhnya.
“Khairul pecah rekod saya yang hampir berusia 50 tahun tetapi sekarang di mana dia? Saya kurang mendengar berita mengenainya selepas itu.
“Dia mempunyai bakat besar dan telah dibuktikannya, tetapi paling penting ialah potensi itu perlu diteruskan sehinggalah menjadi juara. Umurnya masih muda, dia boleh berlari dalam tempoh 10 tahun lagi.
“Harapan saya sudah tentu mahu melihat semula dia kembali mencapai tahap terbaiknya pada tahun depan,” kata pemenang pingat emas 100m dan 200m Sukan Asia 1966 di Bangkok, Thailand itu ketika dihubungi Kosmo! semalam.
Sebagai rekod, Khairul adalah atlet yang berjaya memecahkan rekod lama 200m kebangsaan 20.92 saat (s) dilakukan Jegathesan pada temasya Sukan Olimpik Mexico 1968, dengan catatan masa 20.90s tiga tahun lalu.
Bagaimanapun, rekod 200m milik pemenang pingat emas 100m Sukan SEA Kuala Lumpur itu tidak bertahan lama apabila dipecahkan pula oleh pelari negara yang berpangkalan di Australia, Russel Alexander Nasir Taib dengan catatan 20.77s tahun lepas.
Satu-satunya rekod kebangsaan yang masih lagi dipegang Khairul ketika ini ialah 100m dengan masa 10.18s selepas memadam catatan 10.30s kepunyaan bekas raja pecut Malaysia, Watson Nyambek.