SHAH ALAM – Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) menyediakan insentif Jualan Harga Patut (JHP) dalam membantu meningkatkan hasil kedai koperasi khususnya di Selangor.
Pengarah SKM Selangor, Aminudin Yahya berkata, ini selaras dalam Pelan Pemulihan Usahawan dan Koperasi oleh Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC) melalui SKM bagi memulihkan koperasi dan usahawan yang terjejas.
Katanya, setakat ini sebanyak 23 kedai runcit milik koperasi di Selangor telah menerima insentif JHP.
“Ini merupakan langkah dua serampang iaitu membantu meningkatkan hasil koperasi dan memastikan rakyat mendapatkan harga barangan lebih rendah.
“Insentif secara pembayaran balik atas kos pembelian barangan asas terpilih seperti gula, beras, tepung dan minyak masak dengan jumlah keseluruhan RM115,000,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Terdahulu beliau menyampaikan sumbangan kepada 80 siswa Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam sempena Program Bantuan Bekalan Makanan kepada Siswa dan Komuniti B40 di Kolej Perindu UiTM Shah Alam.
Mengulas lanjut, Aminudin berkata, inisiatif turut diberikan dalam bentuk kewangan bagi meningkatkan keupayaan koperasi selain melonggarkan perundangan bagi mengurangkan komitmen koperasi.
“Kita turut menyediakan Tabung Bantuan Kecemasan Koperasi bernilai RM70,000 yang telah memberikan manfaat kepada 32 koperasi bagi menampung kos operasi jangka pendek mereka sepanjang tempoh pandemik Covid-19 ini,” katanya. -K! ONLINE.