SHAH ALAM – Seorang pengarah syarikat swasta dicekup hari ini kerana disyaki meminta suapan RM22,000 bagi melepaskan dua warga China.
Menurut sumber, penahanan suspek berusia 40 tahun dilakukan kira-kira pukul 12.13 tengah hari tadi di sebuah restoran di Cheras, Kuala Lumpur.
Katanya, siasatan awal mendapati kedua-dua warga China itu termasuk seorang wanita ditahan Jabatan Imigresen di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) atas kesalahan menggunakan cop palsu, Isnin lalu.
“Suspek dikatakan telah meminta wang RM22,000 daripada seorang individu semalam bagi
melepaskan kedua-dua warga China itu.
“Permohonan reman terhadap suspek akan dibuat di Mahkamah Shah Alam pukul 9 pagi esok,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selangor, Datuk Alias Salim ketika dihubungi mengesahkan penahanan itu.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 16 Akta SPRM 2009,” jelasnya.- K! ONLINE