PUTRAJAYA – Malaysia dan Singapura akan mengumumkan perkembangan lanjut berhubung keputusan projek infrastruktur Kereta Api Laju Kuala Lumpur – Singapura (HSR KL – SG) antara dua negara itu menerusi kenyataan bersama dalam satu waktu yang ditetapkan nanti.
Perkara itu dicapai menerusi perbincangan antara Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong dalam satu sidang video hari ini.
Menurut kenyataan bersama Pejabat Perdana Menteri, perbincangan itu antara lain menilai penangguhan kedua dan terakhir projek HSR sepanjang 350 kilometer itu yang tempoh lanjutan penangguhannya dijadualkan berakhir pada 31 Disember depan.
“Kedua-dua pemimpin membuat penilaian mengenai kemajuan perbincangan dan memperoleh pemahaman yang baik mengenai kedudukan masing-masing berhubung projek berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Kenyataan itu berkata, kedua-dua Perdana Menteri itu juga menegaskan kembali hubungan dua hala yang kukuh antara kedua-dua negara meliputi banyak bidang kerjasama.
“Mereka turut menzahirkan ketulusan untuk mengukuhkan lagi hubungan bilateral itu bagi kepentingan bersama,” katanya. -K! ONLINE