SEBERANG PERAI – Seorang lelaki yang ditemui mati di dalam sebuah rumah di Taman Impian, Bukit Mertajam di sini malam tadi dipercayai telah meninggal dunia sejak tiga hari lalu.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Shafee Abd. Samad berkata, kematian mangsa, Seow Ching Yee, 49, disedari oleh jirannya selepas tidak melihat lelaki itu sejak beberapa hari lalu.
“Jiran telah menghubungi tuan rumah yang disewa lelaki tersebut sebelum memeriksa kira-kira pukul 9.40 malam.
“Pemilik rumah berusia 50 tahun nampak lelaki itu di atas lantai serta ada air serta dan bau yang kurang enak di dalam rumah,” katanya kepada pemberita hari ini.
Shafee berkata, siasatan polis mendapati mangsa telah menyewa sejak dua tahun lalu dan dia tidak mempunyai waris.
“Siasatan turut mendapati tiada kesan kecederaan atau unsur jenayah terhadap lelaki itu dan disyaki meninggal dunia sejak tiga hari lalu,” katanya.
Kosmo! Online hari ini melaporkan bomba terpaksa memecahkan pintu sebuah rumah yang berkunci selepas seorang lelaki didapati telah meninggal dunia di Taman Impian, Bukit Mertajam malam tadi. – K! ONLINE