MANAMA, Bahrain – Pelumba Brazil, Pietro Fittipaldi akan membuat kemunculan pertamanya dalam saingan Formula Satu (F1) bersama pasukan Haas bagi menggantikan tempat Romain Grosjean di Grand Prix (GP) Sakhir awal pagi Isnin ini.
Pelumba Perancis, Grosjean mengalami kecederaan selepas terbabit dalam kemalangan ngeri yang hampir meragut nyawanya selepas jentera dipandunya terbabas sebelum terputus dua dan terbakar.
Grosjean selamat dalam insiden tersebut dan hanya mengalami kesan lecur di kedua-dua belah tangannya, namun keadaannya stabil tetapi mustahil untuk turun beraksi pada minggu ini.
“Pasukan memutuskan bahawa Grosjean rehat dalam perlumbaan seterusnya dan ia adalah perkara terbaik. Tempat Grosjean akan diambil alih oleh Fittipaldi.
“Dia (Fittipaldi) sudah biasa dengan pasukan dan menjadi pelumba uji serta pelumba simpanan. Ini adalah langkah terbaik Fittipaldi untuk mengembangkan pengalamannya dalam saingan F1 sebenar,” kata prinsipal pasukan Haas, Guenther Steiner.
Fittipaldi yang berusia 24 tahun itu bertekad untuk menggunakan peluang terbaiknya mengutip mata bersama pasukan Haas.
“Semua pelumba meletakkan impian untuk beraksi dalam saingan F1. Kini impian saya untuk mengemudi jentera F1 menjadi kenyataan. Saya gembira Haas memberi peluang kepada saya dan saya melakukan yang terbaik,” kata Fittipaldi.
Grosjean bakal meninggalkan Haas dan tempatnya itu dijangka akan diambil alih pelumba muda seperti Mick Schumacher dan Nikita Mazepin. – AGENSI