BUDAPEST – Pemain tengah Barcelona, Frenkie De Jong sanggup berkorban apa sahaja demi pasukannya termasuk beraksi di bahagian pertahanan menjelang aksi Liga Juara-Juara menentang juara Hungary, Ferencvaros di Arena Puskas awal pagi esok.
De Jong, 23, sedia memikul tanggungjawab baharu beraksi sebagai bek tengah disebabkan kecederaan dialami pemain-pemain The Catalan pada posisi tersebut.
Ketua jurulatih Barcelona, Ronald Koeman sebelum ini kehilangan khidmat Gerard Pique, Samuel Umtiti dan Sergi Roberto kerana masalah kecederaan.
Pengendali berusia 57 tahun itu tiada pilihan selain mempertaruhkan De Jong selepas seorang lagi pertahanan tengah, Clement Lenglet mengalami kecederaan buku lali ketika menang 4-0 ke atas Osasusa pada aksi La Liga baru-baru ini.
Difahamkan, De Jong akan bergandingan dengan pemain muda Barcelona B, Oscar Mingueza di bahagian pertahanan tengah awal pagi esok dalam aksi yang menyaksikan The Catalan sudahpun mengesahkan slot ke peringkat kalah mati musim ini.
Disebabkan itu juga Koeman dilaporkan akan merehatkan tiga pemain utama iaitu kapten, Lionel Messi, Antoine Griezmann dan Jordi Alba dengan memberi peluang kepada Trincao serta Pedri membentuk rangkaian serangan bersama Philippe Coutinho.
Sebagai rekod, Barcelona berjaya meraih tiket ke peringkat kalah mati selepas meraih kemenangan 4-0 ke atas Dynamo Kyiv pada perlawanan keempat Kumpulan G minggu lalu.
Ia adalah kemenangan keempat berturut-turut diraih Barcelona dalam peringkat kumpulan Liga Juara-Juara musim ini dengan satu lagi slot daripada Kumpulan G besar kemungkinan menjadi milik Juventus yang akan menentang Dynamo di Turin awal pagi esok. – AGENSI