fbpx

Cik B lancar single bertajuk Tolonglah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
CIK B (kanan) dan Datuk Seri Vida (kiri) melancarkan single pertamanya anaknya berjudul 'Tolonglah' di kediamannya di Meru Heights, Ipoh. Foto ZULFACHRI ZULKIFLI

IPOH – Anak jutawan kosmetik, Datuk Seri Vida iaitu Cik B, sekali lagi menggemparkan industri hiburan negara apabila melancarkan single pertamanya bertajuk Tolonglah serentak dengan muzik videonya yang dimuat naik di laman YouTube malam tadi.

Lagu berkonsepkan rap itu ditulis sendiri oleh Cik B atau nama sebenarnya, Nur Edlynn Zamileen Muhammad Amin, 15, bersama Vida manakala komposer lagu merupakan garapan Cik B hasil inspirasi daripada kisah hidupnya sebelum ini.

Menurut pelakon drama Lelaki Lingkungan Cinta itu, lagu Tolonglah sudah siap pada Disember tahun lalu manakala muzik video pula disiapkan pada awal tahun ini namun beliau belum mempunyai keberanian untuk memperdengarkannya kepada khalayak ramai ketika itu.

“Single ini amat istimewa buat saya kerana ia menceritakan kisah hidup saya dan adik-beradik sejak kecil yang didera oleh pengasuh, berhadapan dengan masalah keluarga dan kurang yakin dengan diri sendiri.

“Orang luar mungkin melihat saya sebagai bertuah kerana membesar sebagai anak orang kaya namun mereka tidak tahu kisah sebenar yang kami semua lalui. Itulah yang saya cuba sampaikan melalui lagu dan muzik video ini,” katanya ketika ditemui pemberita di rumahnya di Meru Height di sini semalam.

Katanya, selepas setahun diperam, kini barulah dia berani untuk melancarkannya dan bersedia untuk menerima kritikan daripada pendengar.

“Sebelum ini saya mempunyai masalah keyakinan diri dan malu berhadapan dengan orang, tidak seperti mama (Datuk Seri Vida). Namun kini saya mahu tampil berbeza, tidak seperti saya yang dulu iaitu introvet dan tidak suka bergaul dengan orang.

“Saya kini bersedia untuk menerima kritikan orang ramai mengenai lagu ini dan bersedia untuk membuat sebarang persembahan live,” katanya.

Mengulas lanjut mengenai muzik video tersebut, Cik B berkata, ia diarahkan sendiri ibunya, Datuk Seri Vida atau nama sebenarnya Datuk Seri Hasmida Othman manakala pengambaran pula dibuat di rumah mereka dan gudang milik jutawan itu.

“Saya dan mama yang memberi idea untuk menghasilkan muzik video ini. Sudah lama saya ingin bercerita mengenai kisah hidup saya dan melalui lagu serta muzik video ini ia dapat direalisasikan,” katanya.

Sejak dilancarkan pada pukul 9 malam tadi, muzik video yang diterbitkan DSV Entertainment dan 17 Eleven Music berdurasi 4 minit dan 50 saat itu kini ditonton lebih 157,000 tontonan, mengatasi muzik video lagu terbaharu Siti Nurhaliza bertajuk Kuasa Cintamu iaitu 150,000 tontonan yang turut dilancarkan pada waktu sama semalam.

Sementara itu, Datuk Seri Vida turut meluahkan perasaan bangga dan teruja apabila anak ketiganya itu kini sudah berani untuk membuat keputusan sendiri apatah lagi berani untuk mencipta sesuatu yang bakal mengubah hidupnya.

“Saya sudah lama dengar Cik B menyanyikan lagu dia ini namun dia sering menolak untuk memperdengarkan kepada orang lain. Selepas lama memujuknya, akhirnya Cik B berani untuk berbuat demikian. Maka terhasillah lagu dan muzik video ini.

“Besarlah harapan saya sendiri agar Cik B dapat pergi jauh dalam bidang ini, malah diterima ramai sehingga ke peringkat antarabangsa,” katanya.  -K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI