fbpx

Bekas polis maut kemalangan di LPT2

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Kereta Perodua Myvi dinaiki kedua-dua mangsa yang terlibat dalam kemalangan di Akm 317.3, LPT2 berhampiran susur keluar Kerteh dekat Kemaman hari ini.

KEMAMAN – Seorang pekerja pasar raya maut manakala rakannya cedera parah selepas terlibat dalam kemalangan di Kilometer 317.3 Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2) berhampiran susur keluar Kerteh dekat sini hari ini.

Dalam kejadian pada pukul 4.50 petang itu,  Aizat Amer Mohd. Rodzuan, 28, yang juga bekas anggota polis bahagian Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Negeri Sembilan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah di bahagian kepala dan beberapa anggota badan.

Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Hanyan Ramlan berkata, Muhammad Amsya Asyraff Suhaimi, 24, yang berada di tempat duduk penumpang hadapan pula cedera parah di bahagian kepala dan kaki kanan.

Beliau berkata, sewaktu kejadian, kedua-dua mangsa yang menaiki kereta Perodua Myvi dalam perjalanan ke Pasir Mas, Kelantan dari Kuantan, Pahang.

“Difahamkan Aizat Amer yang kini bekerja di sebuah pasar raya di Pasir Mas ke Kuantan bersama Muhammad Amsya Asyraff atas urusan kerja.

“Dia dikatakan sempat singgah ke rumah keluarganya di Kuantan sebelum terlibat dalam kemalangan di lokasi kejadian sewaktu dalam perjalanan pulang ke Pasir Mas,” katanya kepada Kosmo! hari ini.

Hanyan berkata, siasatan awal mendapati kemalangan berpunca selepas kereta Perodua Myvi yang dipandu Aizat Amer tiba-tiba hilang kawalan lalu terbabas ketika melalui lokasi kejadian.

Jelas beliau, kereta dinaiki kedua-dua mangsa kemudiannya merempuh penghadang besi jalan.

“Impak kemalangan itu menyebabkan mereka tercampak keluar dari kereta tersebut.

“Mayat Aizat Amer telah dihantar ke Unit Forensik Hospital Kemaman di sini untuk dibedah siasat manakala Muhammad Amsya Asyraff yang cedera parah dikejarkan ke unit kecemasan hospital sama untuk menerima rawatan,” katanya. – K! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI