PETALING JAYA – Sembilan pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Indonesia dicekup ketika cuba menyelinap masuk negara ini melalui jalan tidak sah awal pagi tadi.
Kesemua mereka yang terdiri daripada tujuh lelaki dan dua wanita berusia lingkungan 24 hingga 45 tahun ditahan di sekitar persisiran Pantai Ladang Sungai Tengah 1, Bandar Penawar, Johor antara pukul 2.20 pagi hingga 8.15 pagi.
Markas Divisyen Ketiga Infantri Malaysia berkata, sebelum penahan tersebut dilakukan, pasukan serbuan terlebih dahulu menerima maklumat tentang kehadiran sebuah bot mencurigakan menghampiri pesisir pantai tersebut kira-kira pukul 1.20 pagi.
Susulan maklumat tersebut, pasukan serbuan telah mengatur gerak satu pasukan Tim Quick Reaction Force (QRF) untuk mengesan dan mengepung kawasan berkenaan.
“Hasil serbuan yang dilakukan telah berjaya menahan lapan PATI kira-kira pukul 2.20 pagi.
“Penjejakkan di sekitar kawasan berkenaan telah berjaya menahan seorang lagi PATI yang sedang bersembunyi di hutan berhampiran Ladang Sungai Tengah pada pukul 8.15 pagi,”katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Menurut kenyataan itu, nilai rampasan keseluruhan tangkapan dianggarkan berjumlah RM 14,231.36 melibatkan wang tunai RM 1,123.85 dan matawang Indonesia IDR 8,901,300.00 Rupiah (RM 2588.81), serta tujuh buah telefon bimbit, jam tangan dan barang kemas.
Jelasnya, kesemua PATI yang ditahan kemudiannya dibawa ke Markas Taktikal Tanjung Sepang untuk menjalani pemeriksaan dan saringan Covid-19 sebelum diserahkan kepada pihak Jabatan Imigresen.
“Laporan polis telah dibuat di Balai Polis Bayu Damai dan pasukan terus mengatur gerak Tim QRF dan Tim Drone dari Bahagian Staf Perisikan Pertahanan (BSPP) bagi menjejak kemungkinan saki baki PATI di sekitar kawasan tangkapan,” ujarnya.-K! ONLINE