fbpx

Ariff Bahran tukar haluan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ARIFF BAHRAN

DIAM tidak diam, sudah genap tiga tahun jejaka tinggi lampai berkulit hitam manis yang menggunakan nama pentas Ariff Bahran itu berkelana dalam industri hiburan tanah air.

Sepanjang tempoh bertatih, pelbagai onak duri telah diredahi untuk sampai ke tahap hari ini.

Namun, semua perkara yang mendatang menjadikannya lebih matang dalam meneruskan perjuangan.

Pemilik nama lengkap Muhammad Ariff Bahran Ahmad Azhari, 22, memberitahu, semenjak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan bermula Mac awal tahun ini, banyak perancangan kerjayanya yang terpaksa disusun semula.

Enggan terlalu selesa dengan apa yang sudah dimiliki pada saat ini, Ariff yang mula memperkenalkan diri dan memberi salam perkenalan menerusi single Kata Akhirmu itu sudah ada rencana tersendiri.

“Semua orang tahu sejak PKP dilaksanakan, banyak yang diberhentikan kerja selain mengalami masalah kewangan yang tidak menentu.

“Kami selaku anak seni juga begitu. Sama-sama terkesan dengan keadaan yang berlaku. Dalam erti kata lain, masing-masing perlu berjuang untuk hidup,” katanya membuka bicara bersama bersama HibGlam baru-baru ini.

Menyedari bakat yang dianugerah Ilahi tidak sepatutnya dipersia-siakan begitu sahaja, Ariff tekad untuk terus mengembangkan variasi bakat seninya agar kehadirannya dalam gelangang seni terus relevan.

MENUKAR jalur muziknya daripada balada ke arah R&B dan hip hop, Ariff awalnya berdepan kerisauan tidak dapat diterima peminat.– RUSA MUSIC

Ubah genre

Jika selama ini meletakkan kecenderungan terhadap balada sebagai haluan muzik, anak kelahiran Banting, Selangor itu cuba mencabar diri apabila hadir dengan buah tangan terbaharu berjudul Usah awal tahun ini.

“Kali ini saya tampil dengan sedikit kelainan menerusi sebuah lagu rancak bergenre R&B serta hip hop.

“Sebelum ini saya memang lebih dikenali dengan lagu-lagu berentak balada, jadi kali ini saya mahu memberi kelainan dengan memperdengarkan sesuatu yang berbeza.

“Kerjasama dengan Sufian Suhaimi dalam menghasilkan single Usah juga berlaku secara tidak sengaja ketika kami santai bermain gitar dan kemudiannya mendapat ilham untuk menyiapkan melodi penuh,” ujarnya.

Akui bintang program realiti Big Stage musim pertama itu juga, pada awalnya dia agak bimbang jika konsep baharu yang dibawa gagal diterima.

Kerisauannya tersasar sama sekali apabila single tersebut ternyata mendapat sambutan menggalakkan daripada peminat.

MULA membidik perhatian peminat dengan lagu Kata Akhirmu pada 2017, Ariff Bahran kini semakin matang mengatur jalan muzik agar kekal relevan di mata peminat.

Aktif cipta lagu

Selain hadir dengan buah tangan terbaharu, Ariff kini turut aktif mencipta lagu termasuklah untuk beberapa rakan artis.

“Untuk tahun hadapan, insya-Allah akan ada beberapa buah lagu berentak balada yang saya cipta untuk Sarah Suhairi, Azzam Sham dan beberapa artis lain.

“Sebenarnya banyak lagu yang boleh dikatakan sudah siap, namun masih tidak dirakam dek belum ada keyakinan sepenuhnya,” ujarnya yang mengakui dirinya amat cerewet dalam pemilihan material untuk sesebuah karya.

Sebagai penyanyi dan komposer yang hijau dan merangkak dalam dunia seni, Ariff turut terharu kerana ramai penyanyi baharu bertemu dan meminta khidmatnya untuk menciptakan lagu bersesuaian.

Ditebak mengenai perjalanan karier, jejaka berzodiak Capricorn itu tidak menolak seandainya dibukakan peluang dan ruang untuknya meneroka cabang seni lain seperti pengacaraan.

Bagaimanapun, buat masa sekarang dia mahu fokus sepenuhnya terhadap satu bidang dahulu iaitu nyanyian dan penghasilan lagu.

ARIFF sedang berusaha keras untuk memiliki sebuah album studio sulung pada tahun depan.

Album penuh

Tidak sekadar statik atas trek yang sedang dikecapi, Ariff juga sibuk merancang untuk muncul dengan album sulung sekitar tahun hadapan.

Album penuh tersebut akan terisi dengan sembilan buah lagu meliputi pelbagai genre muzik.

“Sebagai penyanyi, saya rasakan tidak lengkap jika tidak memiliki album penuh yang memuatkan lagu-lagu nyanyian saya termasuk paduan dengan penyanyi lain.

“Walaupun ketika penghasilan album penuh kurang dilakukan, saya tetap bulatkan tekad dan berhasrat untuk memilik album sendiri,” tuturnya.

Sedikit tentang harapannya ke pentas berprestij Anugerah Juara Lagu ke-35 (AJL35) menerusi lagu Bicara Rasa duet bersama Sarah Suhairi, Ariff akui menyimpan harapan menggunung ke arah tersebut.

Akui Ariff, dia dan Sarah Suhairi menaruh kepercayaan bahawa lagu tersebut mempunyai kekuatan dan keunikan tersendiri untuk mencuri tempat ke AJL35.

ARIFF dan teman duetnya, penyanyi Sarah Suhairi menaruh keyakinan untuk Bicara Rasa menembusi senarai lagu ke pentas AJL35.
Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI