ISKANDAR PUTERI – Operasi di dua Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) iaitu IPD Iskandar Puteri dan IPD Johor Bahru Selatan (JBS) terjejas selepas terdapat lapan anggota dan pegawai termasuk ahli keluarga mereka yang disahkan positif Covid-19 baru-baru ini.
Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, kes positif Covid-19 itu melibatkan seorang anggota polis berpangkat Inspektor dari IPD Iskandar Puteri dan dua anggota bersama lima ahli keluarga dari IPD JBS.
Beliau berkata, ekoran itu, seramai 181 individu termasuk anggota, pegawai, kakitangan awam serta ahli keluarga diarahkan menjalani kuarantin.
“Bagi kes di IPD JBS, seramai 70 individu dikuarantin di rumah bermula dari 29 November lalu susulan terdapat kes positif melibatkan dua anggota dan lima orang ahli keluarga.
“Bagi IPD Iskandar Puteri pula, seramai 111 individu membabitkan seorang kakitangan awam, 71 anggota, 36 pegawai dan tiga ahli keluarga diarahkan di kuarantin di rumah bermula kelmarin (30 Nov) selepas seorang pegawai disahkan positif Covid-19.
“Setakat ini, itu sahaja kes yang disahkan positif manakala yang lain sedang menunggu keputusan swab test,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas Majlis Pelancaran Modul Kesedaran Jenayah, Dadah Dan Sosial (Mekar) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor bersama Universiti Teknologi Malaysia (UTM) di Horizon Hills, di sini hari ini.
Yang turut hadir ialah Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UTM yang juga sedang menjalankan fungsi Naib Canselor UTM, Prof. Datuk Dr. Ahmad Fauzi Ismail dan Pengarah Pendidikan Negeri Johor, Shaharuddin Saari.
Ayob Khan berkata, tindakan arahan kuarantin itu diambil sebagai langkah pencegahan selari dengan nasihat oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Bagi memastikan pentadbiran serta operasi IPD terbabit tidak terjejas, Ayob Khan memberitahu pihaknya sudah menghantar anggota dan pegawai dari IPK Johor bagi membantu kelancaran perkhidmatan IPD berkenaan.
“Masyarakat tidak perlu bimbang kerana kita telah mengatur gerak anggota dan pegawai ke IPD Iskandar Puteri bagi membantu menguruskan pentadbiran dan operasi di sana” katanya.- K! ONLINE