PUTRAJAYA – Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) memaklumkan masih terdapat 82,517 tuntutan pembayaran balik Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) yang belum dapat diproses dan dibayar balik setakat 30 November lalu.
Ketua Pengarah Kastam, Datuk Seri Abdul Latif Abdul Kadir berkata, jumlah keseluruhan tuntutan yang belum diproses itu adalah berjumlah RM1.316 bilion membabitkan 48,225 syarikat.
Beliau berkata, antara masalah utama dihadapi JKDM untuk memproses tuntutan itu adalah kerana penuntut gagal memberi maklum balas bagi mengemukakan dokumen perlu dan maklumat bank yang sah.
“Keadaan ini berlaku disebabkan penuntut tidak mengemas kini maklumat pendaftaran syarikat seperti alamat perniagaan, nombor telefon dan e-mel dalam sistem MyGST.
“Mana-mana syarikat yang masih belum menerima tuntutan pembayaran balik GST dinasihatkan supaya mengemas kini maklumat pendaftaran dan maklumat bank di dalam Takpayer Access Point (TAP), MyGST,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Katanya, penuntut boleh menghubungi JKDM melalui e-mel Cawangan Kawalan Operasi dan Pulangbalik, Ibu Pejabat JKDM di [email protected].
Abdul Latif berkata, setakat 30 November lalu, pihaknya berjaya menyelesaikan pembayaran balik GST berjumlah RM4.006 bilion membabitkan 27,426 syarikat dan 40,280 tuntutan.
Menurutnya, urusan pembayaran balik GST dimulakan 22 Jun lalu dan dijangka selesai akhir bulan ini.
“Pada 15 Jun lalu, Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz mengarahkan JKDM supaya mempercepatkan pembayaran balik GST yang tertangguh akibat Covid-19 menerusi kaedah ‘bayar dahulu dan audit kemudian bagi syarikat terpilih’,” katanya. -K! ONLINE