fbpx

10 minit sudah sampai sempadan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
PIHAK berkuasa melakukan rondaan di perairan berhampiran sempadan Malaysia-Thailand di Kuala Perlis semalam.

KUALA PERLIS – Jarak muara Kuala Perlis dengan sempadan Malaysia-Thailand yang terlalu hampir iaitu kira-kira 2.4 kilometer atau 10 minit perjalanan ­menggunakan bot menjadikan laluan air digunakan untuk aktiviti penyeludupan ketum dan dadah.

Timbalan Pengarah Operasi Zon Maritim Kuala Perlis, Leftenan Maritim Mohd. Fazmin Shah Md. Rafee Shah berkata, kumpulan penyeludup biasa­nya menggunakan bot fiber atau bot ‘ekor biawak’.

“Mereka mengambil masa 10 hingga 15 minit untuk sampai ke perairan sempadan,” katanya selepas melakukan rondaan yang turut disertai Kosmo! di perairan Kuala Perlis sehingga menghampiri negara jiran semalam.

Kumpulan penyeludup biasanya bergerak pada waktu te­ngah malam sehingga awal pagi semasa air surut.

Biasanya, penyeludup me­nunggu air surut antara 0.3 dan 0.5 meter sebelum menyusuri tepi kawasan paya bakau berhampiran Bukit Batu Putih untuk menceroboh negara ini.

“Taktik ini adalah bagi mengelakkan kegiatan mereka dikesan pihak berkuasa dan mudah untuk melarikan diri ke kawasan paya bakau sekiranya bot ditahan,” katanya.

Pihak berkuasa turut ber­de­pan dengan ancaman tonto dipercayai dalam kalangan warga tempatan yang berkongsi maklumat pergerakan anggota penguat kuasa di perairan.

“Kita melakukan rondaan 24 jam terutama di kawasan laluan penyeludupan selain kerjasama dengan nelayan,” katanya.

Kosmo! semalam melaporkan kegiatan penyeludupan di perairan negara terutama di Kuala Perlis dan Langkawi ­dijangka meningkat apabila sindiket dadah serta ketum dipercayai me­nukar laluan aktiviti haram mereka kepada jalan laut.

Ini berikutan kawalan ketat di sempadan darat selepas berlakunya empat kes tembakan sejak 12 November lalu sehingga mengorbankan seorang anggota Pasukan Gerakan Am di Padang Besar.

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Nelayan Kebangsaan, Abdul Hamid Bahari berkata, kegiatan penyeludupan melalui jalan laut dikesan sejak lebih 10 tahun lalu.

“Kegiatan itu dipercayai sudah berkurangan disebabkan kawalan ketat kawasan perairan oleh anggota penguat kuasa,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI