BATU PAHAT – Wanita warga emas melecur di kaki akibat letupan yang berpunca dari pemasangan kepala tong gas dalam kejadian di Taman Soga di sini lewat petang semalam.
Menurut Komander Operasi Pegawai Bomba Kanan II Ridwan Gembur, mangsa yang berusia 71 tahun baru sahaja membeli kepala gas berkenaan sebelum tercetus letupan akibat kebocoran pada tong gas berkenaan.
“Kami menerima panggilan pada 6.25 petang semalam dan sebuah jentera LFRT dan sebuah jentera EMRS dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Batu Pahat dengan kekuatan seramai sepuluh 10 anggota telah dihantar ke tempat kejadian.
“Tindakan operasi adalah memberi rawatan awal terhadap mangsa selepas dia enggan dihantar ke hospital untuk tindakan lanjut.
“Selain itu, PKO bertindak membuat pemeriksaan menyeluruh di kawasan tersebut untuk memastikan tiada kebocoran lain berlaku di sekitar lokasi kejadian,” katanya ketika dihubungi.
Beliau berkata, punca kebakaran dan anggaran kerugian masih dalam siasatan.
“Operasi ditamatkan pada 7.21 petang,” katanya. – K! ONLINE