SIAPA boleh menafikan aura figura muzik tersohor tanah air Datuk Seri Siti Nurhaliza. Video muzik rasmi Siapa Tak Mahu yang baharu sahaja dimuat naik pada 16 Oktober lalu, menjadikan peminat seni tanah air teruja sehinggakan video muzik tersebut berjaya mencapai sejuta tontonan dalam tempoh 72 jam. Malah video tersebut turut tersenarai di kedudukan teratas Video Muzik Paling Trending dalam YouTube Malaysia.
Jika peminat teruja dengan keindahan visual video muzik Siapa Tak Mahu, pastinya kecenderungan sama mampu diraih dengan kemunculan video muzik rasmi Kuasa Cintamu.
Lagu ciptaan Melly Goeslow dan lirik bersama Siti tersebut menjadi video muzik ketujuh daripada album ManifestaSITI2020.
Bagi menterjemah secara visual maksud di sebalik lirik lagu berkenaan, pengarahnya, Adriana Tunku, memfokuskan cerita perjalanan hidup Siti sejak kelahiran Siti Aafiyah.
Menjelaskan idea di sebalik konsep pembikinan video berkenaan, Adriana berkata, lagu Kuasa Cintamu sebenarnya sarat emosi dan bercerita tentang cinta yang bersifat universal.
“Cinta boleh merujuk kepada perasaan untuk Tuhan, pasangan, cinta ibu bapa, keluarga dan anak. Menerusi video muzik ini, kami mengambil tema yang lebih luas dalam menggambarkan kuasa cinta dalam kehidupan seseorang.
“Menampilkan kisah hidup Siti sebagai tema utama dalam video muzik, kami cuba menyorot kembali perjalanan hidup Siti sejak kecil hingga dewasa dan setiap bentuk cinta yang pernah dirasainya dari dahulu hingga kini.”
“Kami merakam keseluruhan video muzik ini dalam satu urutan tanpa sebarang gangguan. Teknik penggambaran sekali rakam ini memerlukan perancangan rapi kerana dirakam daripada perspektif satu kamera dalam satu masa dan ruang yang sama.
“Setiap butiran kecil melibatkan apa-apa perubahan di hadapan lensa kamera perlu dirancang rapi agar penonton tidak menyedari apa yang berlaku di belakang lensa kamera,” jelas Adriana lagi tentang pendekatan kreatif yang diambil dalam merealisasikan idea asal video muzik berkenaan dalam bentuk visual.
Menyifatkan Siti sebagai penyanyi yang paling profesional yang pernah diajak bekerjasama, Razlan Shah yang bertindak sebagai penerbit pula menyifatkan kolaboratif dengan Siti sebagai pengalaman yang sangat berharga untuk pasukannya.
“Siti sangat komited. Sikap rendah diri dan profesional miliknya melayakkan dia menjadi penyanyi nombor satu di Malaysia. Saya berterima kasih kepada Siti kerana memberi peluang kepada pasukan kami untuk memaparkan kisah peribadinya dalam video muzik ini.
“Saya juga berterima kasih kepada pasukan produksi Denhouse, Studio Selepas Ribut, penata gaya, Kel Wen dan Abu Shaef Hamza yang banyak membantu dalam merealisasikan visi artistik video muzik ini,” ujar Razlan.
Video muzik rasmi Kuasa Cintamu bukan sahaja membawakan kelainan dari segi teknik penggambaran, lebih istimewa apabila Siti Aafiyah turut terlibat menjayakannya. Bertepatan dengan lirik yang dihasilkan, Siti meluahkan penantiannya untuk memiliki Siti Aafiyah sebagai anugerah daripada Yang Maha Berkuasa.
Mengulas tentang video muzik terbaharunya ini, Siti sendiri menyifatkan projek berkenaan sebagai pengalaman baharu buatnya kerana penggambaran dilakukan dalam satu urutan tanpa henti.
“Dalam masa yang sama saya harus menukar persalinan dalam masa beberapa saat sahaja. Kami mencuba beberapa kali dan akhirnya pihak pengarah mengambil hasil yang terbaik daripada penggambaran tersebut. Siti Aafiyah juga turut menyerikan video ini dan saya mendedikasikan video ini buat anakanda saya,” jelas Siti.
Video muzik rasmi Kuasa Cintamu boleh dilayari menerusi YouTube Siti Nurhaliza bermula 1 Disember. Album ManifestaSITI2020 pula masih boleh didapati dalam platform digital seperti Spotify, Apple Music, YouTube Music, JOOX, iTunes, KKBox dan Deezer.