PUTRAJAYA – Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM) akan mengambil tindakan mahkamah terhadap pengeluar sarung tangan Top Glove dan beberapa syarikat lain membabitkan penyediaan perumahan kepada pekerja masing-masing.
Syarikat berkenaan didapati melanggar peruntukan terhadap Akta Standard Minima Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja 1990 (Akta 446).
Ketua Pengarah JTKSM, Asri Ab. Rahman berkata, syarikat terbabit berdepan sebanyak 63 pertuduhan daripada 21 kertas siasatan yang dibuka sejak akta itu dikuatkuasakan September lalu bagi menyiasat ketidakpatuhan meliputi pelbagai subsektor ekonomi.
Beliau berkata, sebanyak 19 kertas siasatan dibuka membabitkan enam kumpulan syarikat Top Glove dan pihaknya akan mengambil tindakan lanjut merujuk kertas siasatan kepada Timbalan Pendakwa Raya.
“JTKSM akan melaksanakan pendakwaan di mahkamah. Selain itu tindakan denda dan kompaun juga akan dikenakan terhadap majikan yang ingkar
“Kita sudah pergi ke semua kilang membabitkan kluster (penularan wabak Covid-19) di Top Glove dan lihat penginapan,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Terdahulu, Asri berkata, satu operasi penguatkuasaan dilakukan terhadap syarikat Top Glove, membabitkan lima negeri iaitu Perak, Kedah, Kelantan, Negeri Sembilan dan Johor.
Ia susulan penularan wabak Covid-19 dalam Kluster Teratai yang dikesan pada 7 November lalu di sebuah kilang milik Top Glove di Meru, Klang.
Menurutnya, operasi pada 26 November lalu yang membabitkan enam kumpulan syarikat Top Glove mendapati majikan tidak mematuhi Akta 446 dengan kesalahan utama kegagalan memohon Perakuan Penginapan daripada Ketua Pengarah Jabatan Tenaga Kerja mengikut Seksyen 24D akta berbabit.
Kegagalan itu membawa kepada kesalahan lain termasuk keadaan penginapan dan asrama yang padat, tidak selesa dan tiada pengudaraan yang sesuai selain bangunan yang digunakan sebagai penginapan turut tidak mematuhi undang-undang Pihak Berkuasa Tempatan (PBT). – K! ONLINE