KUALA SELANGOR – Seorang wanita warga emas yang ditemukan mati terbaring di atas Jalan Kampung Kedah, Kampung Kuantan di sini kelmarin sempat menghantar sayuran di sebuah rumah jiran berdekatan.
Anak saudara mangsa, Hishamuddin Md Azit, 46, berkata, perkara itu dimaklumkan oleh ahli keluarga terdekat mengenai sikap peramah dan semangat kejiranan ditunjukkan mangsa,Majenah Ketik, 79.
“Sebelum kejadian, saya sememangnya ada menemui Anjang (arwah) yang datang ke rumah keluarga kami untuk makan tengah hari pada pukul 1 petang.
“Saya kemudiannya terkejut apabila dimaklumkan kematian Anjang menerusi panggilan telefon daripada ahli keluarga semasa perjalanan pulang ke Subang Jaya,” katanya ketika ditemui pemberita sini hari ini.
Kosmo! semalam melaporkan mayat seorang perempuan warga emas berusia 79 tahun ditemukan dengan kesan kecederaan di bahagian kepala terbaring di Jalan Kampung Kedah, Kampung Kuantan.
Penemuan mayat itu dilakukan orang awam kira-kira pukul 8.11 malam sebelum menghubungi pihak polis.
Sementara itu, saksi kejadian, Jamaludin Dollah, 50, berkata, dia menjumpai mayat mangsa ketika perjalanan pulang ke rumah bersama isterinya dengan menaiki motosikal selepas membeli barang dapur di sekitar bandar di daerah ini.
“Saya sangka objek di tengah jalan itu pelepah kelapa, namun rupa-rupanya manusia dalam keadaan terbaring,” jelasnya.
Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Superintendan Ramli Kasa ketika dihubungi memaklumkan pihaknya masih menunggu laporan penuh bedah siasat daripada Hospital Sungai Buloh.
“Perkembangan dan siasatan lanjut mengenai kes berkenaan akan dimaklumkan kelak dan kes setakat ini diklasifikasi mati mengejut,” katanya.-K!ONLINE