SEPANG – Pertubuhan Rakan Ghullam Kembali (PERGAK) menyasarkan kira-kira 10,000 bekas banduan menyertai Program I-Kembali menjelang tahun depan sekali gus memberikan sinar kehidupan baharu buat mereka.
Pengerusinya, Datuk Seri Siti Murni Sheikh Ahmad berkata, sehingga kini lebih 300 bekas banduan menyertai program tersebut yang dimulakan sejak Jun lalu.
“Sebelum ini, kita menyasarkan kira-kira 300 bekas banduan menyertai Program I-Kembali menjelang akhir tahun ini dan ia mencapai sasaran apabila melebihi angka tersebut.
“Jujurnya sehingga kini hampir RM1 juta dibelanjakan menggunakan dana sendiri bagi menjayakan program ini,” katanya pada sidang akhbar menyambut ketibaan peserta Program I-Kembali di Ghulam Recovery Care Centre hari ini.
Dalam pada itu, mengenai penyertaan bekas banduan baharu, beliau berkata, seramai 50 peserta terdiri daripada Pelepasan Banduan Secara Lesen (PBSL) dan bekas banduan dari Penjara Tapah, Perak akan ditempatkan dalam industri perkilangan.
“Justeru, kami juga berharap masyarakat serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) lain untuk turut sama membantu dalam usaha sama memperkukuhkan Program I-Kembali ini,” katanya.-K! ONLINE