KOTA BHARU – Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kelantan mengutip saman sebanyak RM6.15 juta menerusi tawaran 50 peratus sempena Program Sambutan Hari Keputeraan Sultan Kelantan.
Ketua JSPT Kelantan, Superintendan Mohd. Zamri Mohd. Rowi berkata, hasil kutipan itu melibatkan sebanyak 53,095 pelbagai jenis kesalahan trafik.
Menurutnya, jumlah kutipan saman tersebut adalah melebihi sasaran awal iaitu sebanyak RM3 juta.
“Kutipan saman dijalankan di semua Ibu Pejabat Polis Daerah negeri ini bermula 16 November dan berakhir semalam,” katanya ketika dihubungi Kosmo! hari ini.
Kosmo! Online sebelum ini melaporkan, orang ramai yang mempunyai saman kesalahan lalu lintas di negeri ini boleh membuat semakan dan pembayaran dengan diskaun sebanyak 50 peratus bagi tempoh dua minggu.
Urusan pembayaran saman boleh dibuat pada hari bekerja sahaja iaitu Ahad hingga Khamis. – K! ONLINE