fbpx

Nafiz Muaz tak perlukan gosip murahan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
NAFIZ MUAZ

“SAYA mahu menjadi seorang pengarah yang menghasilkan karya-karya hebat bertaraf antarabangsa satu hari nanti,” demikian perkongsian Nafiz Muaz tentang impian besarnya yang entah bila mampu direalisasikan.

Namanya pernah menjadi sebutan ramai menerusi drama Semua Salahku bergandingan bersama dua pelakon wanita hebat, Fasha Sandha dan Fauziah Nawi.

Drama tersebut berjaya mengangkat namanya dan ramai yang mula membuka mata tentang bakat besar yang dimiliki Nafiz.

Seketika menyinar, namun kini namanya seakan-akan tenggelam timbul dalam industri hiburan tanah air meskipun sudah membintangi beberapa buah drama popular.

MENETAPKAN hala tuju mahu bergelar pembikin karya seni, Nafiz terlebih dahulu menyasarkan impian untuk berlakon di sisi dua idolanya, Amerul Affendi dan Bront Palarae. – MUHAMMAD IQBAL ROSLI

Populariti

Menurut pemilik nama penuh Muhd Nafiz Muaz Mat Nasir, 22, itu, dia tidak pernah merasakan dirinya seorang pelakon popular dan enggan peduli jika namanya kurang dikenali ramai.

“Saya akui memang masih kurang dikenali ramai, mungkin kurang mempromosikan diri dalam media sosial.

“Jika artis lain aktif bermain media sosial mempromosikan diri mereka, berlainan pula dengan saya.

“Media sosial jadi tempat saya berkongsi pengalaman manis dalam kehidupan seharian,” katanya.

Katanya juga, dia tidak mahu dikenali dengan perkhabaran berita yang mengaibkan diri dan keluarga.

“Kalau boleh saya mahu elakkan nama saya menjadi bualan ramai hanya kerana kontroversi tidak elok. Saya mahu jaga nama baik saya, keluarga dan tunang saya.

“Tak perlu gosip murahan, biar orang kenal saya sebagai pelakon hebat yang mampu melakonkan sesuatu watak dengan sepenuh jiwa. Apabila sesebuah watak dikenali, bermaksud pelakon tersebut berjaya menjiwainya dengan sepenuh hati,” tuturnya.

TURUT terkesan berikutan pandemik Covid-19, Nafiz terpaksa menangguhkan majlis perkahwinan yang dirancangkan pada Ogos lalu.

Pengikut

Berbicara tentang isu pelakon tidak menerima tawaran kerana jumlah pengikut yang sedikit dan kurang popular, anak kelahiran Sungai Petani, Kedah itu mendedahkan perkara tersebut sebagai lumrah industri hiburan tanah air.

“Kalau hendak tahu, itu semua realiti yang perlu ditelan oleh semua anak seni dalam industri hiburan, tidak kiralah pelakon mahupun penyanyi, semua akan melaluinya.

“Zaman sekarang, jumlah bayaran dan tawaran hanya akan diberikan berdasarkan jumlah pengikut bukannya bakat yang dimiliki seorang artis.

“Kecewa memang ada tetapi saya tidak kisah dengan semua itu sebab yakin masih ramai yang percayakan bakat saya,” ujarnya lagi.

JIKA situasi kewangan mengizinkan, Nafiz teringin hendak memiliki rumah produksi sendiri.

Impian

Mengajaknya bercerita tentang ambisi sebagai pelaku seni, Nafiz berkongsi impian besarnya.

Dia tidak mahu hanya dikenali sebagai seorang pelakon, sebaliknya ingin menceburkan diri dalam bidang pengarahan dan penerbitan drama atau filem suatu masa nanti.

“Ada artis yang bekerja keras dan berlumba-lumba serta memasang impian untuk meraih trofi anugerah tetapi saya lain. Impian saya ialah ingin hasilkan karya hebat satu hari nanti.

“Saya memang bercita-cita untuk melibatkan diri dengan kerja-kerja di belakang tabir. Kalau boleh, mahu meluncurkan naskhah yang hebat dan bertaraf antarabangsa.

“Banyak idea yang hendak difilemkan tetapi belum ada kesempatan untuk merealisasikannya,” kongsinya.

Akui Nafiz, dia sebenarnya tidak pernah terfikir untuk terlibat dengan kerjaya di belakang tabir sebelum ini kerana kurang meminati bidang tersebut.

“Tetapi sejak menjadi pelakon dan melihat cara orang belakang tabir bekerja seperti mengendalikan kamera dan pencahayaan, minat saya ke arah sesuatu yang lebih teknikal mula muncul.

“Situasinya seperti apabila bekerja bawah orang, kita perlu ikut semua kemahuan mereka tetapi berbeza pula apabila bekerja sendiri sebab boleh hasilkan semua perkara mengikut jalan cerita sendiri. Lebih puas.

“Selain itu, jika situasi kewangan mengizinkan, saya teringin juga hendak memiliki rumah produksi sendiri,” katanya.

Dalam pada itu, sekiranya berpeluang menghasilkan filem pendek Nafiz memasang impiannya untuk berlakon bersama dua pelakon kegemarannya, Amerul Affendi dan Bront Palarae.

“Sejak masuk industri, idola saya ialah Amerul dan Bront kerana mereka pelakon yang sangat hebat.

“Cara saya bentuk diri saya sebagai pelakon juga sama seperti mereka iaitu fokus terhadap penghayatan karakter,” ujarnya.

Selain Bront dan Amerul, Nafiz turut mengagumi bakat yang dimiliki Fauziah Nawi yang sudah dianggap sebagai ibu dalam industri hiburan.

“Dia seorang pelakon yang tegas, kalau dapat berlakon dengan dia, memang saya takut, dan akan mengkaji dahulu watak yang akan dibawa.

“Kalau saya buat silap memang dia akan marah dan persoal mengapa kurang menghayati watak tetapi itu yang kita perlukan dalam industri iaitu tunjuk ajar daripada pelakon senior.

“Sepanjang saya berada dalam industri, banyak ilmu yang saya timba daripada pelakon-pelakon senior. Kebanyakan mereka memang tidak kedekut ilmu,” katanya.

Anak kelahiran Sungai Petani, Kedah itu mengakui, jumlah tawaran dan bayaran seseorang anak seni bergantung terhadap kekuatan pengaruh dalam media sosial sudah menjadi lumrah industri hiburan tanah air.

Tunda nikah

Ketika sibuk mengejar impiannya sebagai pelakon, anak sulung daripada lima beradik itu mengakui bakal mendirikan rumah tangga bersama seorang wanita bernama Diyana Omar, 28, pada Disember nanti.

Bercerita tentang wanita yang berasal dari Alor Setar, Kedah itu, Nafiz memberitahu Diyana merupakan seorang individu yang sangat memahami dan memberi sokongan terhadap kariernya.

“Biarpun saya lebih muda daripadanya tetapi itu bukan penghalang cinta kami.

“Dia antara individu yang memberi sokongan kuat kepada saya dan menerima diri saya seadanya, syukur dipertemukan dengannya,” kata Nafiz.

Seperti pasangan lain yang berdepan dugaan, Nafiz tidak terkecuali.

Pelakon Hilang Yang Kembali itu mendedahkan majlis perkahwinan mereka sepatutnya berlangsung pada Ogos lalu terpaksa ditunda ke tarikh lain akibat masalah kewangan.

“Disebabkan pandemik Covid-19 dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), banyak projek yang terpaksa ditunda serta dibatalkan, memang banyak memberi kesan terhadap periuk nasi saya.

“Syukur, pihak keluarga bakal isteri memahami situasi saya ketika itu dan menangguhkan perkahwinan ialah keputusan bersama.

“Insya-Allah, ikut peranca­ngan, kami akan bergelar suami isteri dalam masa terdekat, tetapi kalau ada masalah pada tarikh itu, mungkin ditunda pada Ja­nuari tahun hadapan,” katanya.

IKUT perancangan asal, anak sulung daripada lima beradik itu bakal mendirikan rumah tangga bersama tunangnya, Diyana Omar, pada bulan ini, namun akan ditunda lagi ke bulan Januari jika masa tidak mengizinkan.
Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI