fbpx

Lupa tutup lampu alasan ingkar tempoh operasi kedai makan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

KOTA BHARU – Tidak tahu peraturan baharu dan terlupa menutup lampu merupakan antara alasan pengusaha kedai makan di sini yang didapati melanggar arahan tempoh operasi sehingga pukul 10 malam.

Dalam operasi pematuhan prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) semalam, dua premis diberi notis amaran oleh pihak berkuasa.

Operasi terbabit dilakukan oleh pasukan penguat kuasa Majlis Perbandaran Kota Bharu-Bandar Raya Islam (MPKB-BRI) dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Yang Dipertua MPKB-BRI, Tuan Zainal Abidin Tuan Yusuf berkata, dalam operasi bermula pukul 4 petang hingga 12 tengah malam itu, sebanyak 37 premis di sekitar pusat bandar, Kubang Kerian dan Pengkalan Chepa diperiksa.

“Daripada jumlah itu dua premis diberi notis amaran kerana didapati berniaga lebih masa yang ditetapkan iaitu pukul 10 malam.

“Kota Bharu sekarang merupakan Zon Merah. Pengusaha restoran dan kedai makan sepatutnya mengambil berat berhubung perkara itu. Kita juga sudah memaklumkan kepada semua premis di kawasan MPKB-BRI,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Tuan Zainal Abidin berkata, kesalahan lain dikesan antaranya tidak menjarakkan tempat duduk, petugas premis tidak memakai pelitup muka dengan betul serta tidak menyediakan alat periksa suhu, cecair pembasmi kuman dan buku catatan nama.

“Bermula malam ini tiada lagi notis amaran. Pengusaha restoran dan kedai makan yang menjalankan perniagaan melebihi pukul 10 malam akan dikenakan kompaun,” katanya.

Dalam perkembangan lain, beliau memaklumkan Taman Permainan dan Pusat Rekreasi seperti Taman Tengku Anis dan Taman Al-Fursan di Padang Tembak ditutup kepada orang ramai sepanjang PKPB ini.

“Bagaimanapun, kawasan tumpuan lain seperti Pantai Cahaya Bulan tidak ditutup, namun akan dipantau dari semasa ke semasa,” katanya.-K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI