LIVERPOOL – Pengurus Liverpool, Jurgen Klopp pening kepala menjelang aksi Liga Juara-Juara menentang Ajax di Anfield awal pagi esok selepas pasukan itu dibelenggu masalah kecederaan.
Pasukan Merseyside itu berdepan banyak masalah kecederaan termasuk tonggak pertahanan, Virgil van Dijk serta perancang tengah, Thiago Alcantara.
Terbaharu, The Reds kehilangan khidmat James Milner selepas pemain antarabangsa England itu mengalami kecederaan ketika seri 1-1 menentang Brighton Sabtu lalu.
“Saya tidak tahu sama ada kecederaan yang dialami Milner serius ataupun tidak kerana perlu menjalani ujian lanjut terlebih dahulu. Selepas itu, baru kita tahu keputusannya.
“Sudah tentu aksi menentang Ajax penting bagi kami, jadi saya perlukan pemain terbaik pada perlawanan itu. Saya harap pemain lain boleh laksanakan tugas dengan baik,” kata pengendali dari Jerman itu.
Selain Milner, Van Dijk dan Alcantara, Liverpool juga tidak dapat menggunakan khidmat Jordan Henderson, Joe Gomez dan Trent Alexander-Arnold kerana masih belum cergas.
“Saya tidak mahu umumkan skuad yang akan berdepan Ajax kerana ia adalah rahsia pasukan. Kita tunggu dan lihat pada perlawanan itu nanti,” ujar Klopp. – AGENSI