LEMBAH Lenggong yang terletak di Gerik, Perak tidak perlu diperkenalkan kerana statusnya sebagai lokasi pelancongan yang cukup dikenali selain menyimpan warisan geologi bertaraf dunia.
Penemuan arkelogi yang terkenal di Lenggong ialah Orang Perak atau Perak Man iaitu rangka peninggalan manusia berusia 11,000 tahun yang ditemui pada tahun 1990.
Selain itu peralatan batu berusia 100,000 tahun turut ditemui di Kampung Geluk dan Kampung Temelung serta pelbagai bukti penggalian yang dikaitkan dengan zaman prasejarah.
Namun begitu, usaha untuk memperkasa kajian santifik di Lembah Lenggong belum berakhir apabila Universiti Sains Malaysia (USM), Pulau Pinang terus diberi kepercayaan untuk menggalas tanggungjawab tersebut.
Baru-baru ini, satu memorandum persefahaman (MoU) dimeterai antara USM serta Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (JMG) bagi menjayakan usaha tersebut.
Kerjasama ini juga bagi merencanakan perancangan strategik serta aspirasi kerajaan negeri Perak untuk mendapatkan pengiktirafan Lembah Lenggong sebagai Geopark Kebangsaan pada tahun hadapan.
Langkah seterusnya adalah bagi melayakkan Lembah Lenggong diiktiraf Pertubuhan Pendidikan, Kebudayaan dan Saintifik Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) dalam beberapa tahun akan datang.
Kajian saintifik ini juga penting bagi membangunkan sosioekonomi dan nilai warisan negara apabila diangkat sebagai Geopark Kebangsaan nanti.
Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi USM, Profesor Datuk Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed berkata, usaha ini akan melibatkan kepakaran empat pusat tanggungjawab (PTJ) USM yang bakal berganding bahu bersama JMG.
Ia melibatkan Pusat Penyelidikan Arkeologi Global (PPAG), Pusat Pengajian Kejuruteraan Bahan dan Sumber Mineral, Pusat Pengajian Sains Fizik dan Pusat Kajian Samudera dan Pantai (Cemacs).
“Gandingan keempat-empat PTJ ini bakal memfokuskan kajian lebih mendalam aspek geologi, geofizik, kejuruteraan sumber mineral, geokimia, sains samudera dan geologi warisan di Lembah Lenggong.
“Ia bagi mengumpul maklumat dan kriteria yang diperlukan bersama JMG dalam usaha mengangkat lokasi warisan tersebut sebagai Geopark Kebangsaan,” katanya ketika hadir mewakili Naib Canselor bagi pertukaran dokumen persefahaman di antara USM dan JMG.
MoU yang dimeterai sempena Seminar Aspirasi Lenggong Geopark itu turut disaksikan Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Dr. Shamsul Anuar Nasarah.
Turut hadir Timbalan Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Tuan Ali Biju; Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Pelancongan negeri, Datuk Nolee Ashilin Mohammed Radzi dan
Pengarah PPAG USM, Profesor Datuk Dr. Mohd Mokhtar Saidin.
Jelas Abdul Rahman lagi, USM sentiasa bersedia berkongsi apa juga kepakaran dimiliki kepada pihak yang ingin memperkasa sosioekonomi dan nilai warisan di negara ini khususnya berkait pembabitan PPAG USM.
Pusat ini juga telah lama menjalankan penyelidikan di Lembah Lenggong sehingga menemui nilai sejarah yang cukup berharga di Bukit Bunuh.
Penemuan bukti di Bukit Bunuh yang dijalankan sejak tahun 2001 telah mendapati kawasan itu antara tapak terpenting di dunia semasa era Paleolitik setelah menemukan sebuah kompleks Paleolitik seluas empat kilometer persegi.
Tapak ekskavasi tersebut mendedahkan, manusia awal telah wujud di rantau Asia Tenggara, khususnya di Malaysia sejak lebih 1.83 juta tahun dahulu sekali gus membuka mata pelbagai pihak di serata dunia.
Kajian tersebut meletakkan Bukit Bunuh sebagai tapak tertua dunia yang berada di luar Afrika dan mempunyai pentarikhan kronometrik yang memperkukuh bukti prasejarah di Lembah Lenggong serta menjadikannya lembah arkeologi yang penting di dunia.
Penyelidikan di Bukit Bunuh juga telah menemukan bukti bahawa faktor kemusnahan budaya awal Paleolitik ini adalah akibat jatuhan meteorit pada 1.83 juta tahun dahulu yang telah dikenal pasti melalui bukti geomorfologi, kehadiran batuan suevit dan geologi kawasan.
Sehingga kini juga, PPAG USM menjadi pakar rujuk termasuk turut membantu penyelidikan di Bosnia, Pakistan, Indonesia dan sebagainya.
Sementara itu, Ketua Pengarah JMG, Datuk Shahar Effendi Abdullah Azizi berkata, menerusi kerjasama itu dana sebanyak RM450,000 diperuntukkan kepada USM untuk menjalankan penyelidikan terperinci.
“Pihak JMG sentiasa bertekad untuk membangunkan sumber-sumber geologi sama ada dalam bentuk sumber kepelbagaian geologi seperti landskap dan meteorologi batuan, proses-proses geologi mahupun fosil.
“Menerusi penemuan-penemuan tersebut ia kemudian menjadi aset sebagai sumber pelancongan semula jadi negara ke arah aspirasi wilayah pembangunan geopark bertaraf kebangsaan dan global pada masa akan datang,” katanya.