PETALING JAYA – Jerantut, Pahang, dicadangkan sebagai Pusat Kulinari Negara khususnya dalam pembuatan dan penghasilan pastri serta bakeri.
Ahli Parlimen Jerantut, Datuk Ahmad Nazlan Idris berkata, cadangan tersebut akan dikemukakan kepada kerajaan dalam masa terdekat.
“Cadangan tersebut timbul setelah kira-kira 350 peserta Kursus Profesional Seni Pastri dan Kursus Profesional Kulinari Kreatif menamatkan latihan dengan cemerlang.
“Kursus anjuran Pembangunan Sumber Manusia Berhad (PSMB) di bawah inisiatif untuk kumpulan B40 yang bermula pada 16 November lalu hingga esok itu telah melahirkan tenaga kerja mahir dan dinamik dalam bidang ini,” katanya dalam satu kenyataan di sini baru-baru ini.
Tambahnya, objektif utama penubuhan pusat kulinari tersebut bagi memberi bimbingan dan tunjuk ajar untuk menyuntik semangat lebih ramai rakyat menjadikan bidang kulinari sebagai kerjaya pilihan. – K! ONLINE