SOUTHAMPTON – Pengurus Manchester United, Ole Gunnar Solskjaer mengakui sangat teruja dengan impak yang diberikan penyerangnya, Edinson Cavani yang muncul sebagai watak penting kebangkitan pasukan itu.
Pada aksi kelmarin, United bangkit daripada ketinggalan dua gol untuk merekodkan kemenangan 3-2 mengatasi Southampton dengan Cavani meledak dua gol termasuk jaringan kemenangan.
Dimasukkan sebagai pemain gantian menggantikan Mason Greenwood pada separuh masa kedua, Cavani turut terlibat dalam menghasilkan gol pertama dengan melakukan hantaran sebelum disudahkan oleh Bruno Fernandes pada minit ke-60.
Kira-kira 15 minit kemudian, meledak gol penyamaan dengan menanduk masuk hantaran Fernandes sebelum gol kemenangan hadir pada masa kecederaan dengan menyudahkan hantaran Marcus Rashford.
Setakat ini, Cavani berjaya meledak tiga gol daripada lima aksi sebagai pemain gantian selepas berhijrah ke Old Trafford pada musim panas lalu.
“Impak yang besar diberikannya. Dia bertindak sebagai pemain nombor sembilan dan sentiasa berada di kawasan gawang lawan.
“Cavani sentiasa bergerak, dia cuba untuk sentiasa berada di hadapan pemain lawan dan perkara itu yang membuatkan saya senang hati.
“Di padang latihan, bilik persalinan dan ketika makan, saya lihat dia seorang yang teliti. Dia tahu apa yang dia mahu makan dan segala-galanya.
“Saya fikir gol yang dijaringkan itu adalah melalui gerakan yang menarik dan pada masa yang sangat tepat. Dia sentiasa mahu menjalankan tugasnya sebagai seorang penyerang dengan baik,” kata Solskjaer.
Dalam pada itu, kapten United, Harry Maguire mengakui bahawa dia sangat mengagumi pemain berusia 33 tahun itu terutama kesungguhannya ketika sesi latihan dan berharap Cavani mampu mencetuskan impak besar di Old Trafford. – AGENSI