CANBERRA – Seorang kanak-kanak lelaki berumur 10 tahun berjaya memecahkan rekod tangkapan ikan tuna di Australia apabila dia menaikkan seekor tuna sirip biru seberat 88 kilogram (kg), lapor akhbar Daily Mail kelmarin.
Lochie Miller menangkap ikan gergasi itu semasa memancing bersama bapanya, Leo Miller di sebuah perairan di selatan Pulau Tasmania baru-baru ini. Dia menggunakan tali pancing seberat 25 kilogram.
Leo berkata, Lochie bergelut selama 2 jam 45 minit untuk menarik dan menaikkan ikan tuna gergasi tersebut menggunakan jorannya.
“Saya menawarkan bantuan tetapi dia nampaknya begitu bersungguh-sungguh dan berkata tidak. Dia beritahu bahawa dia mahu melakukannya sendiri.
“Anak saya amat penat bertarung dengan ikan dua kali ganda daripada beratnya dan mengalami sedikit kesakitan pada bahagian perut,” kata Leo.
Sebelum keluar memancing, dua beranak itu mengambil masa selama seminggu untuk meneliti perkembangan semasa di perairan itu.
Mereka kemudian menaiki bot jenis Catamaran seawal pukul 3 pagi (waktu tempatan) dan mengambil masa dua jam untuk sampai ke lokasi memancing.
Leo berkata, mereka akan cuba memastikan Lochie diiktiraf secara rasmi untuk mencatat rekod tangkapan ikan tuna seberat 88kg berkenaan.
“Ia sudah cukup besar untuk memasuki rekod Australia bagi kelas tali pancing 44kg untuk lelaki bawah usia 11 tahun tetapi banyak kertas kerja perlu dilakukan,” jelasnya.
Menurut laporan, keluarga Miller sudah memakan ikan tuna itu dan memberikan sebahagiannya kepada rakan serta saudara-mara. – Agensi