LONDON – Pengurus pasukan Arsenal, Mikel Arteta tidak kisah jika dipecat oleh pengurusan tertinggi selepas menyaksikan anak-anak buahnya tewas 1-2 kepada Wolverhampton Wanderers pada aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) awal pagi semalam.
Keputusan tersebut telah menyaksikan skuad The Gunners memulakan aksi terburuk dalam liga sejak tahun 1981 apabila hanya meraih 13 mata selepas mengharungi 10 perlawanan.
Kata Arteta, dirinya sudah bersedia dengan segala kemungkinan memandangkan tanggungjawab serta tekanan membimbing pasukasn gergasi seperti Arsenal sangat tinggi.
“Ketika saya menerima tawaran Arsenal, saya sedar pasti satu hari nanti saya akan dipecat atau tidak disambung kontrak dan saya sudah bersedia dengan segala kemungkinan yang ada.
“Saya sedar dengan apa yang pasukan pamerkan ketika ini tidak begitu positif dan apa yang boleh saya lakukan adalah memberi motivasi buat barisan pemain untuk memperbaiki persembahan mereka,” katanya.
Sementara itu, Arteta mengakui kapten pasukan yang juga penyerang utama, Pierre-Emerick Aubameyang perlu menekan butang panik selepas mempamerkan aksi yang cukup hambar sepanjang saingan liga musim ini.
“Aubameyang sedar dia perlu memperbaiki persembahannya di atas padang kerana impak yang diberikan sangat penting untuk membantu pasukan kembali berada di landasan kemenangan.
“Sepanjang dua tahun lalu, Aubameyang telah menjaringkan banyak gol penting buat kami tetapi musim ini tidak berlaku. Saya tidak tahu kenapa ia berlaku tetapi saya harap dia sedar barisan pemain sangat mengharapkan sentuhan emasnya,” katanya. – AGENSI