fbpx

Seorang anggota bomba Ipoh positif Covid-19

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Azmi (dua dari kiri) merasmikan Life Saving Appliances (LiSA) pada program Kesedaran Keselamatan Aktiviti Di Air di Taman Tema Eko-Rimba Ulu Kenas, Kuala Kangsar. - Foto ZULFACHRI ZULKIFLI

KUALA KANGSAR – Seorang anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ipoh disahkan positif Covid-19 Sabtu lalu.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Azmi Osman berkata, anggota berusia 30-an itu kini menjalani rawatan di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh.

Katanya, pihaknya masih belum mempunyai maklumat terperinci bagaimana anggota terbabit mendapat jangkitan berkenaan.

“Bagi anggota lain dalam pasukan C BPP Ipoh, 11 orang yang merupakan kontak rapat telah pun menjalani ujian saringan pengesanan Covid-19 dan keputusan ujian itu akan diketahui hari ini.

“Kesemua mereka kini menjalani kuarantin kendiri di rumah masing-masing manakala 12 lagi baki anggota dalam pasukan sama akan melakukan ujian saringan itu hari ini,” katanya kepada pemberita ketika ditemui pada program Kesedaran Keselamatan Aktiviti Di Air di Taman Tema Eko-Rimba Ulu Kenas di sini hari ini.

Menurut Azmi, walaupun anggota dalam pasukan C kini menjalani kuarantin namun ia tidak menjejaskan operasi keseluruhan bagi BBP Ipoh.

Katanya, bantuan dari balai bomba terdekat termasuk BBP Meru, BBP Gopeng dan BBP Pasir Puteh akan digunakan sekiranya berlaku kecemasan terutama membabitkan kejadian kebakaran.

“Keseluruhan anggota di BBP Ipoh adalah seramai 97 orang dengan 35 daripadanya melibatkan anggota pasukan C.

“Sekiranya berlaku insiden, ia tidak menjejaskan operasi kerana kita masih ada kekuatan melibatkan anggota sedia ada selain bantuan dari balai-balai bomba terdekat,” katanya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI