fbpx

‘Saya tak boleh lihat tetapi Allah Maha Melihat’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
AZMI CALIPH BUSKERS

TATKALA artikel ini dinukilkan, Signed, Sealed, Delivered (I’m Yours) dendangan si genius muzik global, Stevie Wonder sedang bermain dalam kepala, secawan teh hijau tambah menghangatkan suasana.

Bermain dalam benak fikiran betapa hebatnya ciptaan Ilahi. Biarpun Wonder tidak dikurniakan penglihatan sama seperti manusia lain dan memegang kad orang kelainan upaya (OKU), dia dikurniakan Tuhan kehebatan luar biasa iaitu kuasa muzik yang memberi motivasi dan jadi inspirasi kepada jutaan manusia seluruh dunia.

Lantas memberi peringatan kecil kepada diri, sebesar atau semegah manapun kita, di mata Pencipta kita tidak lebih hanya berstatus hamba. Sesama manusia, bersaksamalah kita tanpa mengenal pangkat, darjat, rupa paras dah hal-hal yang mencacatkan rohani.

Fikiran tertumpu buat seorang anak seni tanah air yang berkongsi nasib hampir serupa dengan Wonder. Nama pentasnya, Azmi Saat. Dia tidak boleh melihat, namun mempunyai bakat nyanyian, barangkali lebih besar berbanding segelintir individu normal yang sempurna fizikal.

Azmi atau nama lengkapnya, Khairul Azmi Mohd. Saat, 33, mula mencuri tumpuan industri seni tempatan sekitar 2015. Ketika itu, dia menggantikan vokalis Mojo iaitu Aweera, di pentas Anugerah Juara Lagu ke-29.

Sejak dari situ, kehidupannya jadi berwarna-warni dan berputar 180 darjah. Kalau dahulu, dia bersama rakan-rakannya, membuat persembahan busking (jalanan) di hadapan pusat beli-belah SOGO, Jalan Tuanku Abdul Rahman, sekarang, kalau penonton dahagakan emosi dalam nyanyian, Azmi ada jalannya.

JELAS Azmi, dia dan Caliph Buskers masih utuh bersama walaupun timbul ura-ura mengatakan kumpulan berkenaan sudah berpecah apabila Azmi mula bergerak solo dalam industri. – VALIENT MUSIC

Lupa daratan

“Saya tidak pernah rasa kena kejutan budaya apabila masuk ke industri muzik. Saya terjun dalam ke bidang ini hanya menyanyi. Kalau orang dapat rasa apa yang saya cuba sampaikan, walaupun saya tidak dapat melihat, saya ingin mereka tahu, hati saya tersenyum riang.

“Tidak sempat rasanya mahu besar kepala atau lupa daratan sebab saya tahu daripada mana asalnya saya. Dahulu sebelum jadi penyanyi, saya kerja urut orang, gaji pun RM1,000 sebulan. Bayar sewa rumah RM800, baki tinggal RM200.

“Kalau ada yang kata saya kena kejutan budaya apabila mula berkecimpung dalam bidang ini, saya boleh cakap saya tiada masa sebab selepas buat persembahan dalam mana-mana rancangan atau acara, saya terus balik rumah. Tiada masa untuk melepak. Orang rumah tunggu kepulangan saya,” kata Azmi ketika ditemui HibGlam pada majlis pelancaran single terbaharunya berjudul Tulus di ibu negara baru-baru ini.

Dedah Azmi lagi, dia sentiasa ingat pesanan isterinya, Nazira Muhammad, 34, yang sentiasa memberi galakan dan sokongan sepanjang bergelumang dalam bidang seni suara.

Katanya, isteri yang berkerja sebagai penjawat awam banyak memberi bantuan, terutama ketika semua pihak terkesan dek pandemik Covid-19.

“Sebelum jadi artis pun, isteri banyak beri dukungan termasuk dalam hal kewangan. Dia ada pendapatan tetap sebagai penjawat awam. Dahulu saya buat kerja macam-macam termasuk jadi jurujual dan tukang urut.

“Saya tidak mahu cakap tentang pendapatan saya terutama pada waktu pandemik Covid-19 sekarang kerana bagi saya, semua orang terjejas. Ini semua ujian Allah SWT. Kita kena sentiasa bersyukur dan jangan mengeluh atau cepat mengalah.

“Apa pun, sudah menjadi tanggungjawab saya sebagai ketua keluarga untuk mencari nafkah tidak kira besar atau berat mana ujian menimpa.

“Saya okey. Alhamdulillah, keadaan perlahan-lahan memulih,” ujarnya yang tidak menafikan bergantung terhadap pendapatan isteri sewaktu Perintah Kawalan Pergerakan mula diwartakan pada Mac lalu.

TURUT terjejas dari segi pendapatan akibat Covid-19, Azmi bagaimanapun tidak mahu mengeluh kerana menyedari banyak pihak sedang melalui keadaan serupa.

Ingin anak sendiri

Meneruskan perbualan, Azmi berkata, selama sembilan tahun melayari bahtera perkahwinan, satu perkara yang pastinya diharapkan bagi melengkapkan hubungan suami isteri ialah dikurniakan zuriat sendiri.

Katanya, itu fitrah setiap pasangan suami isteri.

“Tiada pasangan suami isteri yang tidak mahukan anak? Saya dan isteri sudah sembilan tahun berkahwin tetapi kami percaya kepada rezeki Allah SWT.

“Isteri pernah hamil tahun lalu, namun kandungan gugur ketika usia kandungan baru mencecah dua bulan. Kami tidak pernah patah harapan, namun percaya akan ada rezeki untuk menimang cahaya mata nanti. Insya-Allah,” tuturnya.

Ditebak pertanyaan sama ada dia atau isteri pernah mempertimbangkan untuk mengambil anak angkat, jawab Azmi: “Saya pernah utarakan hasrat itu kepada isteri, namun dia sentiasa ingatkan saya supaya percayakan rezeki.

“Ada orang cakap kalau ambil anak angkat, nanti terbuka rezeki untuk ada anak sendiri. Tetapi saya mahu dahulukan rasa hati isteri. Saya tidak akan melangkaui hasratnya.

“Saya percaya, Allah tidak pernah tidur walaupun saya dan isteri mungkin serba kekurangan dari segi fizikal.

“Kami mungkin tidak dikurniakan kesempurnaan penglihatan tetapi Dia Maha Melihat. Jangan pernah putus harapan,” getusnya penuh hemah.

SELEPAS sembilan tahun melayari bahtera perkahwinan, Azmi ada berhasrat untuk mengambil anak angkat, namun niat tersebut ditangguhkan demi tidak mahu melangkaui hasrat isteri yang menginginkan zuriat sendiri.

Tulus

Berkongsi tentang karya muzik terbaharu, siapa sangka, Azmi turut mempunyai kelebihan lain iaitu mencipta lagu. Selepas beberapa lagu nyanyiannya mencuri perhatian ramai, terbaharu Azmi muncul dengan lagu Tulus.

Menariknya, lagu tersebut dicipta sekitar awal 2008 ketika menunggu keputusan peperiksaan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM).

Masa yang ada dimanfaatkan Azmi dengan mempelajari selok-belok teknik rakaman audio menggunakan komputer melalui rakannya.

Daripada lirik, melodi, susunan muzik dan rakaman semuanya dilakukan sendiri.

Usaha dan kejayaan Azmi itu wajar diberi pujian kerana lagu Tulus menjadi karya pertama hasil percubaannya, sekali gus menyerlahkan lagi bakat dalam diri.

Awal tahun ini, Azmi dilamar syarikat Valient Music sebagai artis rakaman. Dari situ juga Azmi digalakkan supaya terus mencipta lagu sendiri dan mendalami mengenai produksi muzik.

Azmi berkata, peluang diberikan lantas digunakan sebaiknya dengan memperdengarkan lagu Tulus kepada pihak Valient Music. Mereka bersetuju menggunakan khidmat Ezra Kong bagi menerbitkan lagu berkenaan.

“Ketika saya ditawarkan kontrak rakaman daripada Valient Music, saya terus terima kerana mereka memberi peluang kepada saya untuk mengetengahkan karya sendiri di samping boleh bekerjasama dengan produser terkenal, Ezra Kong.

“Tulus berkisar mengenai perasaan saya yang mula merasai hadirnya cinta yang tulus daripada seseorang.

“Lagu ini khas untuk teman istimewa yang sekarang sudah pun bergelar isteri saya sekarang.

“Perasaan saya sangat teruja kerana ini adalah lagu pertama yang saya cipta sendiri.

“Apatah lagi, Tulus ada kaitan dengan kisah hidup saya. Sesuatu yang mengujakan kerana dapat berkongsi dan perdengarkan kepada peminat,” katanya menggulung bicara.

TULUS diterbitkan Universal Music Malaysia dan Valient Music. Single berkenaan boleh didapati di semua pelantar digital seperti Spotify, Apple Music, KKBox, Deezer, Joox, iTunes dan YouTube.
Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI