TAMPIN – Saringan ujian calitan Covid-19 sedang giat dilaksanakan di Kem Syed Sirajuddin, Gemas bermula petang semalam susulan seorang petugas di kem berkenaan disahkan positif Covid-19.
Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Tampin, Suhaiza Sharudin berkata, individu yang positif berkenaan disahkan positif di Kuala Pilah susulan menetap di daerah berkenaan.
Bagaimanapun menurutnya, individu berkenaan bertugas di Kem Syed Sirajuddin dan langkah awal dilaksanakan Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) ialah melakukan saringan ke atas kontak rapat kes berkenaan.
“Saringan telah dimulakan semalam dan disambung pada hari ini. Buat masa ini, saya masih tidak mendapat jumlah berapa individu yang disaring,” katanya ketika dihubungi di sini tadi.
Semalam tular di aplikasi WhatsApp maklumat mengenai seorang individu yang bertugas di Kem Gemas positif Covid-19.
Dalam mesej berkenaan juga menyatakan dianggarkan sebanyak 500 kontak rapat akan menjalani ujian calitan Covid-19 berkenaan.
Pihak PKD Tampin dan kem tentera akan melakukan saringan berkenaan. – K! ONLINE