JOHOR BAHRU – Seorang lelaki yang bekerja sebagai penghantar barang (runner) diberkas polis selepas disyaki terlibat dengan kegiatan sindiket pengedaran dadah dikenali sebagai Ah Soon sejak enam bulan lalu.
Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, lelaki tempatan berusia 39 tahun itu diberkas dalam operasi khas kira-kira pukul 6.30 petang sekitar Seri Alam di sini Khamis minggu lalu.
Menurutnya, hasil soal siasat ke atas suspek polis berjaya menemui pelbagai jenis dadah antaranya 2.7 kilogram (kg) syabu, ekstasi (12,000 biji), eramin 5 (23,000 biji) dan 530 gram ketamin.
“Nilai keseluruhan dadah adalah bernilai RM737,000. Dadah ini ditemui di dalam sebuah rumah di sekitar Seri Alam dan kita tidak menolak kemungkinan suspek adalah runner kepada sindiket Ah Soon.
“Ujian saringan suspek negatif dadah selain siasatan mendapati sindiket ini sudah beroperasi hampir enam bulan lalu semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di sini hari ini.
Ayob Khan berkata, pihak polis turut merampas masing-masing sebuah kereta Toyota Camry dan Nissan Grand Livina, seutas gelang emas serta wang tunai RM1,700.
Jelasnya, nilai keseluruhan rampasan termasuk dadah berjumlah RM811,700.
Suspek direman tujuh hari bermula 27 November hingga 4 Disember untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. – K! ONLINE