KAJANG – Seorang jurujual mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan memandu kereta dalam keadaan mabuk sehingga menyebabkan kematian seorang penunggang motosikal minggu lalu.
Tertuduh How Yew Seng , 41, membuat pengakuan tidak bersalah itu selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Majistret Syahrul Sazly Md. Sain.
Mengikut pertuduhan, Yew Seng didakwa sebagai pemandu kereta telah menggunakan kenderaan tersebut dengan memandu dibawah pengaruh alkohol sehingga menyebabkan kematian terhadap Nelzin Didal Mat Lazim, 44, yang merupakan penunggang motosikal.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di Kilometer 3.8 Lebuh Raya Kajang-Seremban (LEKAS), Kajang di sini pukul 1.35 pagi pada 27 November lalu.
Berikutan itu pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 44(1)(b) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333/87) dan boleh dihukum dibawah seksyen yang sama yang memperuntukkan hukuman tidak kurang 10 tahun atau maksimum 15 tahun dan denda tidak kurang RM50,000 atau maksimum RM100,000 dan hilang kelayakan memandu untuk tempoh tidak kurang 10 tahun jika sabit kesalahan.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya,Muhammad Hairuliqram Hairuddin mencadangkan jaminan sebanyak RM50,000 terhadap tertuduh.
Bagaimanapun peguam Tan Teck Yew yang mewakili tertuduh memohon mahkamah mengurangkan ikat jamin itu dengan alasan anak guamnya hanya bekerja sendiri sebagai jurujual selain mempunyai tanggungan tiga orang anak.
“Sejak Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) perniagaan tertuduh sangat-sangat terjejas. Hari ini adik tertuduh hadir untuk menjamin,” katanya.
Selepas mendengar permohonan kedua-dua belah pihak, Majistret Syahrul Sazly membenarkan tertuduh diikat jamin RM12,000 dengan seorang penjamin beserta syarat pasport tertuduh diserahkan kepada mahkamah.
Tarikh 4 Februari 2021 ditetapkan sebutan semula kes. – K! ONLINE