SEBERANG PERAI – Polis sedang mengesan seorang lelaki yang menghilangkan diri selepas mengugut jirannya sambil menunjukkan sebilah parang dalam kejadian di Sungai Dua, Butterworth di sini semalam.
Kejadian kira-kira pukul 12.30 tengah hari itu berlaku apabila suspek berusia 40-an tidak berpuas hati dengan pasangan suami isteri itu.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd. Noor berkata, perselisihan faham itu bukan kejadian pertama melibatkan jiran yang tinggal bersebelahan tersebut.
“Pada Khamis lalu, suspek didakwa mengeluarkan kata-kata kesat sambil menunjukkan sebilah parang di dalam beg plastik ke arah pasangan jirannya itu ketika pergi di hadapan rumah mereka pukul 12.15 tengah malam.
“Semalam, suspek sekali lagi melakukan tindakan sama dan telah menetak pagar rumah jirannya itu ketika mereka bertanya kenapa dia bertindak demikian,” katanya kepada pemberita hari ini.
Noorzainy berkata, pihaknya bagaimanapun sedang mengesan suspek yang menghilangkan diri selepas pasangan itu membuat laporan polis.
“Siasatan mendapati suspek yang masih bujang dan tinggal seorang diri telah berjiran dengan mangsa sejak 13 tahun lalu dan mereka pernah berselisih faham sebelum ini,” katanya lagi.
Sementara itu, difahamkan suspek bertindak demikian kerana pasangan itu didakwa menuduh dan menyebarkan cerita bahawa dia kurang siuman.
Menurut Noorzainy, kes itu disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan. – K! ONLINE