SURABAYA – Jenazah seorang lelaki bernama KH Ahmad Baidowi didapati masih berada dalam keadaan elok biarpun sudah dikebumikan hampir tiga tahun lalu.
Arwah ialah seorang ahli agama di Dusun Banbalang, Desa Batoporo Barat, Kabupaten Sampang, Madura.
Kejadian luar biasa itu disedari oleh anaknya sendiri, KH Ahmad Sufyan ketika membetulkan kawasan kubur arwah selepas dilanda hujan lebat, Isnin lalu.
“Saya perasan tentang keadaan jenazah bapa ketika saya masuk ke dalam lubang kubur untuk membetulkan kayu yang dilapik di atas jenazah.
“Saya terkejut melihat jasadnya berada dalam keadaan baik malah rambut bapa juga masih kelihatan,” katanya kepada Detik.Com, Jumaat lalu.
Selain itu, kubur arwah turut berbau wangi dan tidak mempunyai sebarang bau mayat yang kebiasaannya hanyir meskipun kuburnya ditenggelami air banjir.
Namun begitu, Sufyan melarang orang lain masuk ke dalam kubur dan menyentuh jenazah bapanya malah mengarahkan posisi jasad dibiarkan dalam keadaan asal.
Menurut Sufyan, arwah bapanya adalah orang biasa sahaja.
Bagaimanapun, sepanjang hayatnya, arwah selalu menjadi tempat rujukan berkaitan isu agama oleh masyarakat setempat selain sering mengajar penduduk kampung mengaji al-Quran.
“Saat dia ingin menghembuskan nafas terakhir, arwah sempat mengucapkan Allahu Akbar sambil tersenyum lalu meninggal dunia dengan begitu mudah dan tenang,” cerita Sufyan lagi. – Agensi