JOHOR BAHRU – Hanya kerana cincin dipakai, seorang lelaki terpaksa menanggung kesakitan kira-kira 30 minit selepas jari manisnya patah dan kulitnya tersiat.
Mangsa yang berusia 23 tahun mengalami kecederaan itu selepas cincin yang dipakainya tersangkut ketika ingin turun daripada sebuah lori.
Komander Operasi, Pegawai Bomba Kanan II, Khairul Azhar Abdul Aziz berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan Wad Kecemasan Hospital Sultan Ismail (HSI) pada pukul 3.39 petang, hari ini.
Menurutnya, 12 anggota beserta dua jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Tebrau dikejar ke lokasi.
“Anggota mendapati kejadian berkenaan telah menyebabkan jari manisnya patah, selain kulitnya tersiat selepas cincin dipakainya tersangkut ketika mangsa mahu turun dari lori.
“Sehubungan itu, anggota telah menggunakan satu alat pemotong khas untuk memotong cincin berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan, di sini semalam.
Tambahnya, operasi itu kemudiannya ditamatkan pada pukul 4.34 petang. – K! ONLINE