KLANG – Hasrat dua pengawal keselamatan warga Nepal menjual 990 biji mata pemotong aluminium yang dicuri mereka di sebuah kilang di Meru di sini pada Mac lalu terbongkar apabila ditahan sepasukan polis di sebuah restoran di Malahotpot IOI Boulevard, Puchong baru-baru ini.
Kedua-dua suspek berusia 23 dan 32 itu dicekup pukul 4.05 petang, Jumaat lalu.
Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner Nurulhuda Mohd. Salleh berkata, perkara itu terbongkar apabila suspek cuba menjual barangan tersebut kepada rakan pemilik kilang aluminium berkenaan.
Katanya, polis terdahulu menerima laporan daripada pemilik kilang berusia 40-an berhubung kehilangan barangan pemotongan aluminium dianggarkan bernilai RM145,000 pada pukul 3 petang, sehari sebelum tangkapan.
“Berdasarkan laporan, sebanyak 90 kotak dengan setiap satunya berisi 10 biji mata pemotong aluminium disedari hilang dari stor kilang mangsa pada awal Mac lalu semasa kilang itu tidak beroperasi susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
“Mangsa telah dihubungi rakannya yang mempunyai kilang menjual barangan pemotongan aluminium di Puchong yang menyatakan dua suspek berkenaan ingin menjual barangan itu sebelum disahkan mangsa adalah miliknya,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Kata beliau, hasil siasatan awal mendapati seorang daripada suspek merupakan pengawal keselamatan yang telah bekerja selama dua tahun di kilang rakan mangsa itu.
Sementara, seorang lagi suspek adalah pengawal keselamatan sebuah syarikat di Kuala Lumpur.
“Kita turut merampas 90 kotak mata pemotong itu yang dicuri suspek dan pemeriksaan mendapati mereka tidak mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah.
“Siasatan lanjut masih diteruskan dalam mengesan barangan curi yang lain dan kes kini disiasat mengikut Seksyen 381 Kanun Keseksaan dan Akta Imigresen 1959,” katanya. – K! ONLINE