JOHOR BAHRU – Polis Johor menyelar dakwaan video tular seorang lelaki bahawa terdapat 255 kematian melibatkan Orang Kena Tahan (OKT) akibat dipukul di dalam lokap di negeri ini.
Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay, tindakan lelaki dikenali sebagai N. Ganeshparan, 38, dilihat cuba memfitnah serta menguji kredibilitinya.
Menurutnya, berdasarkan statistik pada tahun 2000 sehingga 2014 menunjukkan, hanya 23 rekod kematian melibatkan OKT yang mana kebanyakannya adalah penagih dadah dan diklasifikasikan sebagai mati mengejut.
“Lelaki yang dikenali sebagai N. Ganeshparan yang memuat naik video di akaun Facebook itu juga tidak berpuas hati dan mempertikaikan tindakannya menahan seorang pejuang hak asasi manusia K. Haridas atas kesalahan mengugut pegawai polis pada tahun 2017.
“Hasil siasatan mendapati Ganeshparan yang berasal daripada Seremban, Negeri Sembilan itu juga mempunyai tujuh rekod lampau dan dipercayai kini berada di Jerman dan kali terakhir berada di negara ini adalah pada 2 Nov 2017.
“Dia juga sudah lima kali ditangkap pada tahun 2010 sehingga 2017. Individu ini telah keluar daripada Malaysia pada 2 Nov 2017 sebab itu dia berani cakap, kalau berani baliklah Malaysia,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai video berdurasi enam minit 67 saat yang dirakam pemilik akaun Facebook ‘Ganesh Nadaraja’ semalam, yang tidak berpuas hati dengannya berikutan penahanan K. Haridas serta beberapa dakwaan lain.
Menurutnya, tujuh rekod lampau membabitkan N. Ganeshparan adalah di bawah Seksyen 392 Kanun Keseksaan, Seksyen 397 Kanun Keseksaan berkaitan samun, Seksyen 160 Kanun Keseksaan berkaitan pergaduhan, Seksyen 379 A Kanun Keseksaan kes kecurian, Seksyen 506 Kanun Keseksaan bagi ugutan jenayah. Akta Hasutan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Ayob Khan menjelaskan, dakwaan yang mengatakan bahawa K. Haridas dipukul oleh pihak polis juga adalah tidak benar.
“Haridas bukan dipukul dalam lokap pihak polis, Haridas buat laporan bahawa dia dipukul sewaktu di dalam tahanan reman penjara Ulu Choh.
“Isu tangkapan Haridas ini tidak timbul kerana dia ditahan atas kesalahan lepas iaitu pada 2017, kes terhadap kenyataannya terhadap saya itu dalam kertas siasatan,” katanya. – K! ONLINE