LIVERPOOL – Kekalahan 0-1 kepada Leeds United pada aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) di Goodison Park awal pagi semalam nyata mengundang resah kapten Everton, Mason Holgate.
Pemain pertahanan tengah itu meluahkan kekecewaan selepas The Toffees menampilkan aksi kurang meyakinkan bagi membolehkan Leeds meledak gol kemenangan menerusi Raphinha pada minit ke-79.
Kata Holgate, dia sedar mereka tidak boleh mengekalkan rentak kemenangan sepanjang musim, namun menegaskan Everton tidak sepatutnya menampilkan aksi longlai seperti itu.
“Saya tahu kami tidak boleh menang setiap perlawanan sehingga hujung musim, namun sekurang-kuranya kami tidak boleh sia-siakan peluang dalam perlawanan seperti ini.
“Kami sudah tewas beberapa kali musim ini, sudah tentu ia sangat mengecewakan. Semua pemain perlu tampilkan aksi lebih baik selepas ini,” ujar Holgate.
Sementara itu, pengurus Everton, Carlo Ancelotti menggesa pemain-pemainnya untuk lebih fokus menjelang perlawanan akan datang selain berharap benteng pertahanan menampilkan aksi lebih konsisten.
“Kami berdepan banyak masalah dalam beberapa perlawanan sebelum ini, jadi kami perlu beri lebih fokus pada aksi seterusnya. Saya juga mahu benteng pertahanan lebih kemas selepas ini,” kata Ancelotti. – AGENSI