PORT DICKSON – Sebanyak 26 buah rumah melibatkan 300 penduduk terjejas ekoran banjir kilat yang berlaku di Kampung Jimah Lama dekat sini pagi tadi.
Setiausaha Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Kampung Jimah Lama, Othman Shamsudddin ketika ditemui Kosmo! berkata, pihaknya dimaklumkan terdapat 26 buah rumah telah terjejas namun penduduk masih belum berpindah lagi ke pusat pemindahan sementara.
“Saya dimaklumkan sebanyak 26 buah terjejas melibatkan 300 penduduk. Ada juga penduduk yang telah mula keluar rumah kerana khuatir air mulai naik.
“Bagaimanapun, masih tiada penduduk yang berpindah ke pusat pemindahan setakat ini. Mereka semua masih melihat sekiranya ada berlaku penurunan air sungai Jimah,” katanya.
Pegawai Pertahanan Awam Daerah Port Dickson, Kapten (PA) Mohamad Azri Abu Hassan berkata, pihak Angkatan Pertahanan Awam (APM) menerima panggilan daripada penduduk kampung kira-kira 9.30 pagi tadi.
“Tinjauan APM hari ini mendapati kawasan berisiko di Kampung Jimah Lama dan mendapati air sudah mula menurun. Pada awalnya, kami mahu membuka pusat pemindahan namun, kami hanya memantau dahulu sekiranya air mulai naik semula.
“APM bersiap sedia apabila hujan sahaja, kami akan mula melakukan pemantauan kerana kawasan ini walaupun hujan renyai-renyai air akan naik tinggi,” katanya.
Begitupun, ujarnya, mereka sudah bersiap sedia membuka pusat pemindahan di Balairaya Kampung Jimah sekiranya air masih tidak menurun.
Tambahnya lagi, seramai lapan orang anggota APM telah digerakkan ke lokasi berkenaan bagi memantau keadaan banjir.
“Bacaan air semasa pada pukul 11.15 pagi tadi menunjukkan air sungai Jimah berada di tahap bahaya,” katanya. – K! ONLINE