KOTA BHARU – Gara-gara terlampau ghairah dalam urusan jual beli emas, seramai 23 individu dikompaun selepas tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dalam operasi yang dijalankan di bandar ini semalam.
Ketua Polis Kelantan, Deputi Komisioner Shafien Mamat berkata, kesemua individu yang dikompaun terdiri daripada enam pemilik premis dan 17 orang pelanggan di kedai emas.
Katanya, sewaktu operasi dijalankan, pelanggan di kedai emas dilihat gagal mematuhi SOP PKPB apabila tidak menjaga penjarakan sosial sewaktu menjalankan urusan jual beli.
“Pelanggan yang merupakan golongan wanita dilihat berebut-rebut sehingga berlaku kejadian tolak-menolak sesama mereka hanya kerana mahu membeli emas.
“Selain itu, kita dapati pemilik premis pula tidak menyediakan cecair pembasmi kuman dan penyukat suhu untuk kegunaan pelanggan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas menghadiri Program Derma Darah Anjuran Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kontinjen Kelantan Bersama Unit Tabung Darah Hospital Raja Perempuan Zainab II di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) di sini hari ini.
Mengulas lanjut, menurut Shafien, beliau melihat pemilik kedai emas lebih mementingkan keuntungan perniagaan mereka berbanding pematuhan terhadap SOP yang ditetapkan kerajaan.
Katanya, pemilik premis juga berdepan dengan tindakan yang lebih berat atau kemungkinan kedai mereka ditutup sekiranya masih ingkar untuk mematuhi SOP.
“Kita boleh bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan untuk menjalankan penguatkuasaan yang lebih ketat terutamanya untuk menutup premis mereka.
“Nasihat saya, pemilik premis boleh menggunakan khidmat anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) untuk memastikan perniagaan mereka mengikut SOP yang ditetapkan,” katanya.
Shafien menambah, polis sesekali tidak akan berkompromi dengan individu yang ingkar SOP PKBB yang telah dilaksanakan di negeri ini bermula 21 November hingga 6 Disember depan. – K! ONLINE