fbpx

PRU-15 selepas Covid-19 berakhir

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

PETALING JAYA – Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin memaklumkan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) akan diadakan selepas pandemik Co­vid-19 berakhir.

Sehubungan itu, beliau yang juga Presiden Parti Pribumi ­Bersatu Malaysia (Bersatu) menegaskan tiada keperluan ­untuk mana-mana pihak berusaha supaya Belanjawan 2021 ditolak agar PRU-15 dapat diadakan.

“Ada berpendapat Belanjawan 2021 perlu ditolak untuk membolehkan PRU diadakan. Tidak perlulah buat begitu. Kalau tanya saya, mungkin semalam lagi saya nasihatkan Yang di-Pertuan A­gong bubar Parlimen untuk membolehkan PRU diadakan.

“Tetapi kita semua tahu masalahnya ialah Covid-19. Insya-Allah, jika diizinkan Allah, apabila pandemik ini berakhir, kita adakan PRU. Kita kembalikan mandat kepada rakyat dan biar rakyat buat keputusan memilih kerajaan yang mereka mahu,” katanya pada Perhimpunan Agung Tahunan Bersatu 2020 semalam.

Terdahulu, Muhyiddin yang juga Pengerusi Perikatan Nasio­nal (PN) berkata, PN sedang mempertimbangkan permohonan beberapa parti lain yang mahu menyertai gabungan parti politik tersebut dalam tempoh terdekat.

Menurut beliau, penyertaan parti politik terbabit akan menjadikan PN sebuah gabungan politik yang berciri nasional dan mewakili kepentingan seluruh masyarakat di negara ini.

Kata beliau, PN diterima baik oleh rakyat dan kajian-kajian yang dijalankan juga menunjukkan penerimaan rakyat terhadap PN adalah tinggi, maka Bersatu akan menggunakan logo PN dalam PRU-15.

Sementara itu, katanya, beliau telah mengadakan pertemuan dengan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan kedua-dua mereka bersetuju bahawa hubungan antara Bersatu dan UMNO mesti diperbaiki.

Tambah beliau, turut dipersetujui adalah memperkukuhkan hubungan Bersatu, UMNO dan Pas supaya tidak berpecah, bertembung dan memilih haluan yang berbeza.

“Inilah masanya untuk semua pemimpin Melayu mengetepikan perbezaan politik dan bangkit mempertautkan hubungan ­silaturrahim,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI