RANTAU PANJANG – Seorang nenek bertindak nekad apabila sanggup meredah air banjir pada paras dada semata-mata mahu membawa cucunya yang berusia setahun berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) selepas rumah mereka di Kampung Gual Tok Deh, di sini ditenggelami air.
Norizah Mohd. Nor, 44, yang mendukung cucunya bukan sahaja terpaksa meredah air banjir sejauh 500 meter, malah dia berjalan 500 meter lagi sebelum tiba di PPS di Sekolah Kebangsaan (SK) Gual Tok Deh di sini.
Norizah berkata, kepenatan yang diharungi itu hilang sekelip mata apabila selamat tiba di PPS bersama Muhammad Aqif Amshar Zuhaimi setahun dan anaknya Nurul Atiqah Ab. Rashid, 20.
“Alhamdulillah, kami semua tiba dengan selamat di PPS pada pukul 8 pagi,” katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.
Norizah berkata, hujan lebat sejak dua hari lalu menyebabkan kawasan rumahnya ditenggelami banjir susulan limpahan air Sungai Golok.
Katanya, tindakan awal itu diambil bagi mengelakkan dia dan keluarga berdepan masalah besar kemudian hari.
“Melihat situasi cuaca semasa yang tidak menentu, saya mengambil keputusan untuk berpindah lebih awal.
“Selain itu, air sudah naik di dalam rumah sudah mencecah paras pinggang,” ujarnya.
Sebuah lagi keluarga turut berpindah di PPS itu selepas rumah mereka ditenggelami banjir.
Sementara itu, portal infobanjir.water.gov.my setakat pukul 4 petang tadi menunjukkan bacaan air Sungai Golok berapa pada 9.4 meter sekaligus sudah melepasi paras bahaya. – K! ONLINE