PUTRAJAYA – Kementerian Kesihatan (KKM) menjelaskan, pihaknya mendapat maklumat daripada waris keluarga serta pihak berkuasa tempatan berhubung kematian ke-352 yang melibatkan lelaki warga asing berusia 130 tahun.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, maklumat yang diterima juga terhad termasuk usia lelaki tersebut berikutan ketiadaan dokumen pengesahan diri yang sah.
“Kematian arwah telah disahkan oleh Hospital Tuaran. Maklumat mengenai latar belakang arwah telah diperoleh daripada kaum keluarga dan juga pihak berkuasa tempatan.
“Memandangkan arwah tidak mempunyai sebarang dokumen pengesahan diri yang sah, maklumat yang diterima adalah terhad termasuklah usia arwah,” katanya dalam satu kenyataan akhbar di sini hari ini.
Kosmo! hari ini melaporkan satu daripada empat kematian baharu yang dilaporkan semalam membabitkan seorang lelaki warga asing iaitu kes ke-35,037 di Sabah berusia 130 tahun.
Difahamkan kes kematian itu adalah BID (brough-in-dead) dan umur si mati adalah berdasarkan rekod pihak polis.
Bagaimanapun, usia lelaki tersebut menimbulkan persoalan dalam kalangan netizen di media sosial termasuk ada yang menyatakan berkemungkinan ia satu kesilapan daripada pihak KKM. -K! ONLINE