JAKARTA – Seorang nenek menerima seorang lelaki berumur 29 tahun untuk menjadi suaminya selepas warga emas itu menolak lamaran lima lelaki lain, lapor portal berita Tribun News baru-baru ini.
Yainem berumur 76 tahun dan pasangan, Jamhar Ali Nursahid mengadakan majlis perkahwinan mereka di rumah pengantin wanita di Kecamatan Slahung, Kabupaten Ponorogo di Jawa Timur, Indonesia kelmarin.
Wanita itu pernah berkahwin dan menjadi janda tanpa anak selepas kematian suaminya. Dia bertemu Jamhar semasa keluar membeli barang keperluan harian di sebuah pasar pada September lalu.
“Selepas bertemu dan berbual beberapa kali, Jamhar meluahkan perasaannya kepada saya dan menyatakan hasrat untuk berkahwin.
“Saya sempat bertanya kepadanya, adakah dia benar-benar mahu bernikah dengan saya kerana dia masih muda lagi,” katanya ketika ditemui pemberita pada majlis ijab kabul.
Jamhar yang merupakan duda dua anak menyatakan faktor perbezaan umur 47 tahun bukan penghalang baginya untuk menjadikan Yainem sebagai isteri.
“Saya ikhlas mencintai Yainem dan dia mampu membuatkan saya berasa tenang apabila bersamanya.
“Saya yakin dengan keputusan ini dan tidak mempedulikan cakap-cakap orang mengenai soal rumah tangga saya,” katanya.
Sementara itu, Ketua Pejabat Hal Ehwal Agama (KUA) Kecamatan Slahung, Tajul Mujahidin berkata, pihaknya jarang mengendalikan pernikahan pasangan berbeza umur seperti pasangan pengantin itu.
“Sejak saya menjadi ketua di KUA, baru hari ini saya sempat menyaksikan pernikahan pasangan yang mempunyai jarak perbezaan umur lebih 40 tahun.
“Disebabkan mereka berdua pernah berkahwin sebelum ini, saya tetap doakan agar rumah tangga pasangan ini menemui kebahagiaan,” tambahnya. – Agensi