JAUH di hujung talian jelas kedengaran nada suara sayup perlahan bercampur hiba seorang lelaki yang memang dikenali dengan perwatakan ceria dan bertenaga.
Ya. Itu suara milik penyanyi Alif Satar yang sudah melewati tempoh seminggu dirawat di sebuah pusat perubatan di Melaka selepas disahkan positif Covid-19 pada 22 November lalu.
Alif atau nama sebenarnya Muhammad Alif Mohd. Satar, 30, disahkan positif pandemik maut tersebut ketika menjalani penggambaran drama terbitan sebuah rumah produksi di Bandar Raya Bersejarah tersebut.
Dalam benaknya pada masa tersebut hanya satu. Apa akan berlaku kepada isteri dan anak-anaknya. Adakah akan berakhir dengan nasib sama seperti dirinya, namun Tuhan mengasihani mereka apabila isteri dan anak-anaknya disahkan negatif pada Isnin lalu.
“Jujur saya katakan, ketika mendapat perkhabaran dan diberitahu sah positif Covid-19, dunia ini bagai gelap seketika dan dirasakan bagai sudah berakhir.
“Dalam kotak fikiran pada masa itu cuma terbayangkan isteri, anak-anak dan keluarga terdekat. Apa nasib yang akan berlaku kepada saya selepas ini,” luahnya dalam nada sayu saat membuka bicara bersama Pose baru-baru ini.
Tambah Alif yang popular menerusi lagu Akhiri Penantian itu, putaran roda kehidupannya juga seakan-akan terhenti saat mula-mula dijangkiti Covid-19.
“Perkara pertama yang saya lakukan ialah dengan memberikan semua senarai nama dan kenalan terdekat dengan saya terutama yang sama-sama sepentas dalam saingan Separuh Akhir Muzik-Muzik ke-35 (SFMM35).
“Jujur saya ditimpa rasa bersalah dan kadang-kadang terfikir adakah saya yang menjadi punca terhadap semua yang berlakunya,” katanya sambil memberitahu kesihatannya kini bertambah baik selain mendapat rawatan terbaik daripada petugas kesihatan.
Rindu anak
Hati bapa mana yang tidak merindui anak lebih-lebih lagi terpaksa berpisah dalam tempoh dua minggu lamanya.
Begitu juga yang dirasai Alif apabila terpaksa berjauhan dengan tiga buah hatinya sehingga berakhirnya tempoh kuarantin.
“Boleh dikatakan setiap hari saya akan membuat panggilan video bersama isteri dan anak-anak dan setiap kali itu jugalah air mata ini akan mengalir.’Dunia bagaikan gelap seketika’
“Terakhir kali sempat mendakap dan mencium pipi anak-anak ialah sewaktu mereka sedang tidur iaitu pada hari sebelum saya bertolak ke Melaka untuk penggambaran.
“Setiap kali bercakap dan bertanyakan khabar mereka menerusi panggilan video, tiap kali itu jugalah saya tidak dapat menahan kesedihan. Rindu nak peluk dan cium mereka,” tuturnya.
Akui Alif, sejak ’terpilih’ oleh Yang Maha Esa menjadi pesakit Covid-19, dia kini lebih menghargai nikmat kesihatan yang dianugerahkan selain menyeru semua orang menjalani gaya hidup lebih sihat.
“Insya-Allah jika tiada aral melintang dan kekangan, saya akan dibenarkan keluar dari hospital pada 3 Disember nanti. Tidak sabar rasanya menunggu tarikh itu.
“Alhamdulillah tahap kesihatan saya juga semakin memberangsangkan.
“Ujian darah, paru-paru dan buah pinggang juga memuaskan selain tiada sebarang simptom. Cuma sejak beberapa hari kebelakangan ini, deria bau hilang, namun beransur pulih,” katanya.
Mengakhiri perkongsian, Alif menitipkan jutaan terima kasih kepada semua rakan artis, peminat, keluarga dan sesiapa sahaja yang tidak putus-putus mendoakan kesihatan dan kesejahteraan diri serta keluarganya.