fbpx

Cemas selamatkan anak sakit jantung

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Suhardi dan Suhana bersama anak bongsu mereka, Shahir Shamin yang mengalami masalah jantung di PPS Surau Taman Sang Kancil di Kulim hari ini.

KULIM – Sepasang suami isteri cemas apabila rumah didiami mereka di Kampung Jalan Sungai, Lunas di sini dilanda banjir kilat selepas hujan lebat pada semalam.

Dalam kejadian kira-kira pukul 6 petang itu, Shuhardi Shukori dan Suhana Yob, 40, bergegas menyelamatkan anak bongsu mereka, Shahir Shamin Shuhardi, 2, yang menghidap penyakit berkaitan jantung, usus dan saluran pernafasan.

Menurut Suhana, dia dan suami baru pulang ke rumah pada kelmarin selepas Shahir dirawat di Hospital Pulau Pinang selama tiga hari.

“Hujan lebat pada petang semalam menyebabkan halaman rumah mula dinaiki air dan kami bertindak memindahkan mesin oksigen dan penyedut kahak milik Shahir ke dalam kereta sebelum diletakkan di kawasan tinggi.

“Paras banjir semakin meningkat sebelum air mula melimpah masuk ke dalam kawasan rumah,” katanya ketika ditemui di pusat pemindahan sementara (PPS) Surau Taman Sang Kancil di sini hari ini.

Katanya, dia dan suami bersama empat anak berusia antara dua hingga 17 tahun kemudian terpaksa meredah air paras paha untuk ke PPS kerana air naik dengan cepat.

“Dalam masa setengah jam sahaja, seluruh kawasan kampung telah dinaiki air,” ujarnya.

Sementara itu, katanya, dia bersyukur kerana khemah yang disediakan untuk keluarganya di PPS terletak berhampiran punca bekalan elektrik.

“Ini kerana, Shahir perlu menggunakan mesin penyedut kahak ini setiap dua atau tiga kali dalam masa sejam,” katanya.

Dalam pada itu, dua beradik tidak sempat menyelamatkan kertas latihan untuk ujian akhir yang diberi oleh guru selepas rumah mereka di Kampung Batu 5, Lunas dilanda banjir kilat.

Wan Afiq Wan Azlan yang merupakan pelajar tingkatan satu Sekolah Menengah Kebangsaan Lunas dan kakaknya Siti Shahirah, 19, pelajar Kolej Tingkatan Enam Padang Serai tiada di rumah ketika kejadian.

Ibu mereka Norlia Jaafar, 49, berkata, dia tidak sempat menyelamatkan kertas latihan tersebut kerana keadaan pada masa itu kelam kabut.

“Paras air naik kira-kira satu meter sehingga paras tingkap rumah,” katanya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI