fbpx

Bot nelayan Indonesia terkandas dihantar pulang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
KM Malawali ditugaskan untuk mengiringi sebuah bot nelayan Indonesia yang hanyut dan terkandas hampir dua minggu, ke sempadan perairan Malaysia-Indonesia semalam.

LUMUT – Sebuah bot nelayan Indonesia yang ditemui hanyut dan terkandas hampir dua minggu di perairan Malaysia selepas mengalami masalah enjin, dihantar pulang ke perairan negara jiran itu pagi semalam.

Kapal Maritim (KM) Malawali diberi tugas melaksanakan tanggungjawab sosial itu dengan membantu mengiringi bot nelayan bersama lima kru tersebut ke sempadan perairan Malaysia-Indonesia kira-kira pukul 11 pagi.

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Perak, Kepten Maritim Shahrizan Raman berkata, bot tersebut terkandas di perairan Malaysia pada 17 November lalu berikutan kerosakan enjin dan ditambat di Jeti Awam Damar Laut dengan kebenaran Pasukan Gerakan Marin (PGM), Jabatan Laut dan Pejabat Daerah Lumut.

“Bot berkenaan telah ditemui oleh sebuah bot nelayan tempatan dan ditarik sehingga ke perairan Pulau Pangkor sebelum dilaporkan kepada PGM,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Terdahulu, katanya, kesemua lima kru warga Indonesia itu dibawa ke Klinik Kesihatan bagi menjalani saringan Covid-19 dan disahkan negatif, kemudian mereka disanitasi oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat sebelum dikuarantin sementara menunggu bot mereka dibaiki.

Menurut beliau, bot tersebut selesai dibaiki pada 27 November dan semalam KM Malawali telah diaturgerak untuk mengiring bot berkenaan keluar dari sempadan Malaysia-Indonesia.

“Komuniti maritim diminta untuk bekerjasama menyalurkan maklumat berkaitan pencerobohan nelayan-nelayan asing, pendatang tanpa izin serta lain-lain kegiatan jenayah yang dikesan berlaku dalam perairan Perak kepada Pusat Operasi Maritim Negeri Perak di talian 05-6838737 atau National Task Force di talian 011-6251 1123,” katanya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI