LONDON – Pengadil dari Tunisia, Ali Nasser, 76, mengakui bangga kerana dapat membantu Maradona menjaringkan gol yang dianggap terbaik pada abad lalu ketika aksi Piala Dunia 1986 di Mexico.
Ali dipilih menjadi pengadil perlawanan ketika Argentina berjaya menewaskan England di peringkat suku akhir di mana Maradona meledak dua gol pada perlawanan tersebut iaitu gol kontroversi Hand of God dan satu lagi gol yang menarik apabila dia menggelecek hampir tujuh pemain lawan sebelum menjaringkan gol.
“Dia mendapat bola dari tengah padang dan saya memerhati pergerakannya itu. Apabila anda mengadili perlawanan melibatkan pemain seperti Maradona, mata anda tidak boleh terlepas daripada pergerakannya.
“Pemain England cuba menjatuhkannya tetapi dia berjaya melepaskan diri. Saya sudah bersiap dengan wisel jika dia dijatuhkan tetapi keinginannya menjaringkan gol sangat kuat dan saya sentiasa menjerit supaya perlawanan diteruskan.
“Dia masuk ke kotak penalti dan menewaskan tiga pemain pertahanan serta penjaga gol sebelum menjaringkan gol. Ia dianggap sebagai gol terbaik abad itu.
“Saya melihat dia mula dikasari sejak berada di tengah padang. Jika saya meniupkan wisel dan memberikan sepakan percuma, kita mungkin tidak dapat melihat gol sebaik itu dijaringkan,” katanya.
Ali menambah, perlawanan melibatkan Argentina dan England itu disaksikan kira-kira 115,000 penonton yang memenuhi Stadium Azteca di Mexico City dan menjadi pengalaman paling berharga sepanjang kariernya biarpun gol pertama yang disahkannya itu menimbulkan kontroversi.
“Saya masih mengingatinya secara jelas.
“Pemain pertahanan England, Steve Hodge tertendang bola ke bahagian belakang dan Maradona sudah bersedia melompat berdepan Peter Shilton. Kedua-dua mereka membelakang kedudukan saya.
“Kedudukan mereka menghadap pembantu pengadil dari Bulgaria, Bogdan Dochev yang melihat lebih jelas situasi itu. Saya menjeling ke arah Dochev dan beliau tidak memberi sebarang isyarat bahawa jaringan itu dilakukan dengan tangan.
“Arahan yang diberikan kepada kami sebagai pengadil sangat jelas. Jika kedudukan pembantu pengadil berada lebih jelas dengan situasi, pengadil perlu mengambil kira pandangan mereka,” dakwanya.
Bagaimanapun, Ali memuji semangat kesukanan yang dipamerkan oleh para pemain England ketika itu yang menerima keputusan berkenaan dengan tenang.
“Gary Lineker datang kepada saya merayu dengan mengatakan bahawa bola itu terkena tangan. Saya mengatakan kepadanya supaya teruskan permainan. Pada saya, gol itu sah mengikut panduan yang diberikan oleh Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).
“Secara jujur, saya mahu England menjaringkan gol penyamaan ketika itu supaya semua dapat menikmati aksi tersebut dengan tambahan masa 30 minit dan mereka melakukannya,” jelasnya.
Ali mengakui bahawa dia sangat terharu apabila Maradona sempat menziarahinya pada 2015 ketika berada di Tunisia.
“Saya beritahunya, bukan Argentina yang memenangi Piala Dunia tetapi sebaliknya adalah Maradona,” ujarnya. – AGENSI