PENYANYI kumpulan TVXQ menuai pujian peminat atas sikap budiman yang ditunjukkan selepas dilaporkan menderma sebanyak 50,000 keping pelitup muka dan hidung.
Yunho dilaporkan menyumbangkan pelitup muka berkenaan kepada penduduk di kampung halamannya sendiri di Gwangju.
Difahamkan, pemberian barangan keperluan musim Covid-19 berkenaan khas untuk pekerja perkhidmatan sosial serta golongan yang kurang berkemampuan.
“Disebabkan kes Covid-18 semakin meningkat sejak kebelakangan ini, saya berharap sumbangan sebegini sedikit sebanyak dapat meringankan beban penduduk kampung halaman saya,” ujarnya.
Yunho dilahir dan dibesarkan di Gwangju sebelum memulakan karier di Seoul sebagai anggota kumpulan TVXQ sejak 2003.
Pengurus Pemasaran Pelancongan Bandar Gwangju, Lee Young-dong yang menerima sumbangan tersebut berkata, pihaknya sangat terharu kerana nama besar seperti Yunho menunjukkan teladan kepada masyarakat.
“Saya berasa sangat terharu kerana bintang Yunho yang berasal dari bandar ini memberikan sumbangan kepada penduduk setempat,” katanya.